fb fb fb fb fb

Bunuh ibu bapa angkat, Broker saham digantung sampai mati

Tertuduh Tan Kian Ngip, 45 tahun didapati bersalah membunuh kedua ibu bapa angkatnya pada 2019/Foto RTM

SEREMBAN, 4 Julai-Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada broker saham, Tan Kian Ngip, 45 tahun kerana didapati bersalah terhadap dua pertuduhan membunuh ibu dan bapa angkatnya pada tahun 2019.

Hakim, Datuk Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan serta proses perbicaraan yang melibatkan 40 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan.

Mahkamah turut menerima penolakan rayuan mitigasi oleh tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah melakukan kesalahan membunuh bapa angkatnya Tan Kim Joo , 78 tahun pada 24 Julai 2019 antara pukul 4 petang hingga pukul 7.45 malam di sebuah rumah beralamat di Seremban.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan kesalahan membunuh ibu angkatnya, Ng Chong Hwa berusia 72 tahun ketika kejadian pada hari, waktu dan tempat yang sama.

Dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ala’uddin Baharom dan tertuduh diwakili peguambela,S.Dyanasri.

Pada Ogos 2019, media melaporkan tiga lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban bagi pertuduhan membunuh sepasang suami isteri warga emas sehingga menyebabkan kematian.

Bagaimanapun hanya tertuduh disabitkan kesalahan membunuh manakala tiga lagi rakannya dituduh menghilangkan senjata yang digunakan oleh tertuduh.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD