fb fb fb fb fb

Bekas juruteknik TNB didakwa kemuka dokumen palsu

Tertuduh, bekas juruteknik TNB, Abdul Hadee Ahmad, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu, empat tahun lalu

IPOH, 26 Jun- Seorang bekas juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu, empat tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Abdul Hadee Ahmad, 37 tahun di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu atas nama syarikat ZG Engineering Sdn Bhd bagi bulan April 2020 berjumlah lebih RM19,000. Kerja-kerja tersebut dijalankan oleh kakitangan TNB sendiri dan tidak dijalankan oleh syarikat ZG Engineering.

Kesalahan dilakukan di Pejabat TNB Cawangan Bidor, Daerah Batang Padang, Perak pada 28 Oktober 2020.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Dia juga didakwa atas pertuduhan pilihan memperdaya TNB untuk membuat pembayaran kepada Syarikat ZG Engeneering dengan jumlah, tarikh kejadian serta lokasi yang sama mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Sharul Azuan Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad dan Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid. 

Mahkamah memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan 26 Julai depan. 

ROSLINA BINTI DIN