fb fb fb fb fb

705 kenderaan mewah disita sejak Ops Luxury dilancarkan

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli melihat kenderaan mewah yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang pelaksanaan Ops Luxury di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju hari ini/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Sebanyak 705 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara sejak Ops Luxury dilancarkan pada 1 Julai lalu, termasuk 77 kenderaan dalam Ops Luxury Bilangan 4 yang bermula pada 12 Disember lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi ini adalah usaha berterusan penguatkuasaan JPJ terhadap pemilik kenderaan mewah yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

“Kita telah menahan dan juga menyita sebanyak 705 buah kenderaan mewah yang mana kita telah ambil tindakan menyita kenderaan-kenderaan mewah ini kerana mereka melakukan pelbagai kesalahan.

“Dan sekarang operasi kenderaan mewah ini telah masuk ke bilangan keempat yang mana dalam tempoh 4 hari sahaja kita dah tahan 77 buah kenderaan mewah,” katanya pada sidang media Ops Luxury Bilangan 4 di Depoh Sitaan JPJ Kuala Lumpur hari ini.

Tegasnya, sitaan dibuat ke atas kenderaan yang dipandu oleh warga tempatan dan juga warga asing susulan pelbagai kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu yang sah, lesen memandu tamat tempoh, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan nombor pendaftaran.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Aedy Fadly menambah, semua kenderaan yang ditahan kini disimpan di Depoh Simpanan JPJ untuk siasatan lanjut.

“Kenderaan-kenderaan ini disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya.

“Kita tidak akan berhenti. Ops Luxury kini sudah memasuki fasa keempat dan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengulas kesalahan yang dikenal pasti, Aedy berkata antara kes serius yang dikesan termasuk kenderaan model Lamborghini Huracan dan Audi A8 dengan tunggakan LKM masing-masing sebanyak RM35,760 dan RM21,710.

“Selain itu, JPJ turut mengesan sebuah kenderaan mewah jenis Audi TT yang tidak memperbaharui LKM jalan sejak 2021.

“Kita juga menahan kenderaan yang mempamerkan nombor pendaftaran palsu, termasuk menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain pada kenderaan yang belum didaftarkan,” katanya.

Aedy Fadly menegaskan bahawa kenderaan yang disita tidak akan dilepaskan selagi pemilik gagal menyelesaikan saman, cukai jalan dan insurans, dan tindakan tegas akan terus diambil.

Menurutnya, pelaksanaan berkala Ops Luxury ini akan terus diperkukuh sebagai usaha strategik JPJ bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan sektor pengangkutan negara.

JPJ ingin menegaskan, mana-mana pihak yang didapati melanggar mana-mana Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta 715 APAD 2010 dan akta-akta lain yang berkaitan, akan dikenakan tindakan tegas.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang boleh melaporkan aduan tersebut melalui Aplikasi MyJPJ: e- Aduan atau e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. beserta butiran aduan lengkap.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI