fb fb fb fb fb

2 bot pukat tunda ditahan ceroboh perairan Pulau Bidan

Bot dan peralatan menangkap ikan mencecah RM1.3 juta dirampas/Foto

ALOR SETAR, 27 November – Seramai lapan nelayan, termasuk seorang warga tempatan dan tujuh warga Thailand, ditahan kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat tunda di perairan Pulau Bidan, Yan di sini, baru-baru ini.

Aktiviti itu dikesan dilakukan pada jarak antara 9.8 batu nautika hingga 13.5 batu nautika dari daratan atau pulau terdekat.

Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris, memaklumkan bahawa semua suspek ditahan oleh anggota Pangkalan Utama Konservasi dan Perlindungan Perikanan (PKOPP) Kuala Kedah.

"Anggaran nilai sitaan bot dan peralatan menangkap ikan mencecah RM1.3 juta, manakala hasil tangkapan seberat 80 kilogram (kg) turut dirampas dengan nilai hampir RM500," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kesemua tangkapan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Pejabat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Negeri Kedah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, iaitu kesalahan menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai.

Sukri turut mengingatkan para nelayan agar tidak menceroboh kawasan pantai kerana tindakan itu boleh menyebabkan penurunan mendadak sumber perikanan, khususnya apabila anak ikan terperangkap dalam pukat tunda.

“Kawasan pesisir pantai adalah kawasan penting sebagai nurseri bagi tumbesaran anak ikan pelbagai spesies marin.

"Pencerobohan ini akan menjejaskan usaha jabatan untuk memastikan sumber perikanan negeri kekal terpelihara dan diurus secara mapan,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN