fb fb fb fb fb

Kes IPIC: Najib, Mohd Irwan lepas tanpa bebas pertuduhan pecah amanah RM6.6 bilion

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 27 November - Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah daripada enam pertuduhan pecah amanah melibatkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 billion.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Seri K.Kumaraendran, masing-masing mewakili Najib dan Mohd Irwan agar anak guam mereka dilepas tanpa dibebaskan.

"Berdasarkan fakta dan hujahan daripada kedua-dua peguam serta keadaan kes ini, saya menggunakan kuasa sedia ada untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh pertama (Najib) dan tertuduh kedua (Mohd Irwan) daripada keenam-enam pertuduhan,” kata Datuk Muhammad Jamil.

Tambahnya, keputusan itu diambil kerana pihak pendakwaan gagal memenuhi peruntukan di bawah Kanun Tatacara Jenayah (CPC) serta terdapat kelewatan melampau dalam perbicaraan yang bermula sejak 2018.

Pada 25 Oktober 2018, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah berhubung pembayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).

Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan antara 21 Disember 2016 hingga 18 Disember 2017.

Walaupun dilepas tanpa dibebaskan, pendakwaan masih berhak untuk menuduh semula Najib dan Mohd Irwan pada masa akan datang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN