JOHOR BAHRU, 12 Januari- Seramai 16 warga asing ditahan secara berasingan di beberapa premis sekitar daerah Batu Pahat dan Segamat pada 9 dan 10 januari lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Johor, Baharuddin Tahir berkata, serbuan dibuat di beberapa lokasi panas di kedua-dua daerah berkenaan, susulan maklumat awam diterima berkaitan beberapa warga asing bekerja tanpa permit yang sah.
“Mereka yang ditahan dalam serbuan itu terdiri daripada lapan warga Myanmar, empat warga Pakistan dan masing-masing dua warga Indonesia dan Vietnam.
"Kesemua ditangkap kerana melanggar syarat pas ditetapkan, gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa," katanya.
Tambah Baharuddin, mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 37 tahun.
Kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).