fb fb fb fb fb

13 individu termasuk empat kakitangan bank ditahan curi wang RM24.2 juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR, 19 Jun- Polis menahan 13 individu yang disyaki terlibat dalam kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan sebuah bank berjumlah RM24.2 juta setakat semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu termasuk penahanan terbaru membabitkan lima individu bagi membantu siasatan.

Katanya lagi, lima suspek terbaru dalam kes itu ditahan di Sabah terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

Semua suspek yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita berusia antara 22 sehingga 53 tahun.

11 suspek direman sehingga Jumaat ini dan seorang lagi suspek direman sehingga esok, manakala seorang lagi suspek sudah dibebaskan dengan jamin polis.

Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada 16 Jun lalu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki disyaki dalang sindiket yang terbabit dalam kes mengeluarkan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap melibatkan kerugian sebanyak RM24.2 juta.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE