KUALA NERUS, 15 Julai - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Mereka yang ditahan hasil daripada pemeriksaan ke atas 120 individu termasuk warga tempatan yang diperiksa melibatkaan 12 premis.
Pengarah JIM Terengganu Mohd Yusri Mohd Nor berkata, kesemua PATI yang ditahan berumur antara 22 hingga 40 tahun itu melibatkaan warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
Kebanyakan mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal lebih masa.
"Operasi ini sebenarnya kita berdasarkan kepada risikan dan hasil daripada aduan daripada orang ramai. Contohnya tadi di lokasi stesen bas, kita memperoleh laporan daripada orang ramai bahawa ramai warga asing berada di sana.
"Jadi pada hari ini kita menumpukan pada kedai-kedai sebab itu kita ada sekali dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sama ada kedai-kedai tersebut menjual barang-barang mengikut peraturan atau sebaliknya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Operasi Bersepadu di sini.
Operasi itu turut mendapat kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).