KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, RTM menampilkan telemovie khas berjudul "Skuad Apartmen Putra: Misi Cinta Merdeka" yang bakal disiarkan pada 25 Ogos ini di TV2 dan RTMKlik.
Drama arahan Rohayu Abdul Wahab itu bukan sahaja sarat dengan hiburan, tetapi juga mengangkat nilai persahabatan, kekeluargaan serta patriotisme menerusi garapan ringan tetapi penuh mesej.
Menurut Pengurus Unit Drama TV, Rulhaizal Abdul Rahman, pemilihan drama itu adalah kesinambungan daripada kejayaan sitkom popular "Apartment Putra" yang tamat pada Julai lalu.
“Telemovie ini ibarat pengubat rindu kepada peminat yang mengikuti siri tersebut.
"Lebih istimewa, sempena bulan kemerdekaan ini, ia menjadi platform terbaik untuk kita suntik elemen patriotisme dan nilai kebangsaan dalam bentuk santai dan komedi ringan, namun tetap membawa mesej positif kepada penonton, khususnya generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pratonton dan Sidang Media Panggung RTM Khas Hari Kebangsaan 2025 "Skuad Apartmen Putra: Misi Cinta Merdeka" di sini.
Sementara itu, pengarah drama, Rohayu menjelaskan, ilham penceritaan kali ini berteraskan hubungan kekeluargaan dan kejiranan.
“Inti pati utama Misi Cinta Merdeka diangkat daripada siri "Apartment Putra" musim keenam dan ketujuh.
"Inspirasi datang daripada kasih sayang seorang anak dengan ayahnya serta ikatan kejiranan yang erat. Itulah yang kami terjemahkan dalam telemovie ini.
"Kebiasaannya sambutan Hari Kebangsaan sinonim dengan perarakan dan peragaan kenderaan, namun kali ini RTM tampil dengan kelainan apabila menyuntik elemen sitkom dan jenaka dalam karya khas, sambil tetap mengekalkan roh serta ciri-ciri kemerdekaan," ujar beliau.
Bagi pelakon utama, Elly Arifin, pengalaman membawakan wataknya sebagai pemilik kafe memberi cabaran tersendiri, termasuk membina semula keserasian bersama pasangan lakonannya, Jiggy Masin.
“Walaupun tiada watak utama mutlak, setiap karakter ada peranan masing-masing. Saya sendiri belajar jadi barista demi watak ini.
"Cabaran paling besar ialah menghidupkan keserasian bersama Jaafar (Jiggy), dan syukur dengan bimbingan pengarah semua babak dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan sensitiviti," katanya.
Selain itu, beliau berharap penonton dapat menghayati mesej kekeluargaan, persahabatan dan perpaduan yang diketengahkan dalam drama berkenaan, kerana itulah nilai sebenar kemerdekaan.