KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Lebih 2,000 peminat hadir memeriahkan konsert “BLOOM” di Zepp Kuala Lumpur Sabtu lalu, bagi meraikan ulang tahun pertama kumpulan idola wanita Malaysia, KLP48.
Dianggotai 13 ahli dari Malaysia, Jepun, Hong Kong dan Indonesia, KLP48 tampil penuh bertenaga dengan persembahan pelbagai lagu popular.
Menurut ahli kumpulan, Yi Shyan, tema “Bloom” melambangkan kematangan KLP48 selepas setahun bersama.
“Bloom diilhamkan daripada bunga yang mekar, simbol perjalanan kami yang kini bersedia menunjukkan potensi sebenar,” katanya kepada pemberita RTM.
Tiffany pula menyifatkan latihan mencabar kali ini memberi kekuatan baharu kepada kumpulan itu.
“Harapan kami, persembahan ini dapat memberi inspirasi kepada peminat untuk terus mengejar impian mereka,” katanya.
Haruka menambah, konsert berkenaan penuh dengan kejutan termasuk kostum baharu, dua lagu terbaharu dan pengumuman mengenai pembukaan teater baharu kumpulan itu.
Sementara itu, Amanda menegaskan identiti Malaysia tetap menjadi sebahagian daripada persembahan KLP48.
“Kami mahu mengetengahkan budaya Malaysia dalam lagu dan kostum, misalnya menggabungkan elemen baju kurung dengan gaya moden,” jelasnya.
Antara lagu dipersembahkan termasuk “Oh My Pumpkin!”, “Aitakatta”, “Melon Juice” dan “Namida Surprise”. Kehadiran semula ahli kumpulan, Lucine, selepas berehat kerana masalah kesihatan turut menjadi momen mengharukan.
Konsert itu turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan tempatan COEX, penyanyi muda Ismail Izzani, serta kemunculan khas JKT48. Malam bersejarah itu ditutup dengan kolaborasi KLP48 dan JKT48 membawakan “Oh My Pumpkin!”, sekali gus meninggalkan kenangan manis buat peminat.