LONDON, 18 Ogos – Bintang Hollywood, Terence Stamp yang dikenali dengan watak sebagai penjahat General Zod dalam filem “Superman” dan “Superman II”, meninggal dunia pada usia 87 tahun, kata keluarganya pada Ahad.
Stamp, yang pernah dicalonkan Anugerah Oscar, mempunyai kerjaya panjang merentasi pelbagai genre, termasuk karya pengarah Itali Pier Paolo Pasolini Theorem (1968), A Season in Hell (1971) serta filem kultus The Adventures of Priscilla, Queen of the Desert (1994) menyaksikan beliau memegang watak wanita transgender.
“Kami kehilangan seorang insan luar biasa. Hasil karya beliau sebagai pelakon dan penulis akan terus menginspirasi generasi akan datang,” kata keluarga dalam satu kenyataan sambil memohon privasi pada waktu sukar itu.
Dilahirkan di East End, London pada 1938, anak kepada seorang pekerja kapal tunda, Stamp membesar ketika Perang Dunia Kedua.
Beliau pada mulanya bekerja dalam bidang pengiklanan sebelum memperoleh biasiswa ke sekolah drama.
Populariti Stamp melonjak hasil paras rupa yang kacak dan berpenampilan kemas.
Stamp turut digelar antara figura paling popular Britain selepas bergandingan dengan Julie Christie dalam Far From the Madding Crowd (1967).
Beliau turut pernah menjalinkan hubungan dengan model terkenal Jean Shrimpton dan menjadi inspirasi jurufoto David Bailey.
Selepas gagal mendapatkan watak James Bond bagi menggantikan Sean Connery,
Stamp beralih ke pawagam Itali dan bekerjasama dengan Federico Fellini pada akhir 1960-an.
Beliau kemudian menyepi seketika untuk mendalami yoga di India sebelum kembali ke layar lebar dengan watak ikonik General Zod dalam Superman (1978) dan Superman II (1980).
Stamp terus mewarnai dunia perfileman antarabangsa dengan pelbagai peranan, termasuk dalam Valkyrie (2008) bersama Tom Cruise, The Adjustment Bureau (2011) bersama Matt Damon serta beberapa karya arahan Tim Burton. - REUTERS