fb fb fb fb fb

Vijay LLB The Advocate: Kisah di sebalik tabir mahkamah ditayangkan 1 Ogos

Sebuah filem Tamil tempatan, Vijay LLB The Advocate

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Sebuah filem Tamil tempatan, Vijay LLB The Advocate, yang membawa naratif perundangan serta menceritakan kisah di sebalik tabir mahkamah, bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 1 Ogos ini.

Penyampai radio Raaga, Uthaya, yang memegang watak utama sebagai Vijay dalam filem itu berkata Vijay LLB The Advocate tidak hanya menawarkan plot yang menarik, tetapi juga mesej penting yang memerlukan renungan mendalam penonton.

“Diadaptasi daripada novel berasaskan kisah benar dan disesuaikan dengan elemen tempatan, filem ini menjanjikan pengalaman yang mendalam dan memikat.

“Meskipun tajuknya merujuk kepada dunia perundangan, Vijay LLB The Advocate menawarkan lebih daripada sekadar naratif peguam, dengan elemen drama dan debaran (thriller) yang jarang dipaparkan dalam karya Tamil tempatan,” katanya kepada Bernama.

Menurut Uthaya, plot bermula dengan pembunuhan seorang pelajar kolej dan susulan itu, seorang pensyarah bernama Venthan dikaitkan dengan insiden berkenaan.

Meskipun semua bukti dan keterangan saksi yang dikemukakan di mahkamah mendedahkan Venthan sebagai pembunuh, hal itu tidak meyakinkan Vijay, yang selaku peguam terpanggil untuk membantu merungkai kebenaran di sebalik pembunuhan tersebut.

Uthaya, yang juga penerbit filem berdurasi 2 jam 5 minit berkenaan, berkata hasil karyanya menampilkan barisan pelakon muda bagi mengetengahkan bakat mereka.

Menurutnya, kumpulan orkestra berprestij dari Hungary, Budapest Philharmonic, terlibat dalam penciptaan runut bunyi filem bergandingan dengan komposer terkenal India, G. V. Prakash Kumar.

Malam Gala Premier Vijay LLB The Advocate akan diadakan hari ini iaitu seramai 1,111 penonton berpeluang menonton lebih awal di MBO Quayside Mall, Shah Alam, dengan tiket berharga RM20 bermula 3 petang ini. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN