KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Pengalaman lebih 60 tahun dalam arena muzik tempatan mendorong bekas Pengarah Muzik RTM, Datuk Johari Salleh untuk terus berkarya demi meningkatkan koleksi muzik Melayu untuk dijadikan warisan kepada generasi muda.
Meniti usia 83 tahun, Datuk Johari Salleh berpandangan, kemajuan dunia digital era semasa memberi peluang kepada penggiat muzik muda mencipta lagu dengan lebih mudah serta menarik perhatian kalangan peminat muzik, terutama muzik orkestra.
"Berbanding zaman dahulu dengan sekarang, saya boleh melihat banyak perubahan, banyak perkembangan kerana ada daripada idea mereka itu berbeza dengan orang lama, itu yang membuatkan orkestra itu cepat maju," kata Johari.
Tambah Johari, lagu-lagu patriotik yang sering dimainkan menjelang sambutan Hari Kebangsaan, seperti Malaysia Berjaya, Bahtera Merdeka dan Tanggal 31 Ogos adalah khazanah negara yang akan terus kekal malar segar.
"Sempena Hari Merdeka ini, saya rasa kawan-kawan saya jika mereka masih ada lagi yang pernah bekerja dengan saya dahulu, juga kawan-kawan yang di luar dari RTM, saya rasa walaupun kita tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan tetapi kita masih boleh menyumbang kepada negara, kepada perkembangan muzik dan lagu supaya muzik kita ini tidak ketinggalan dalam arus perkembangan," katanya.
Lagu popular yang dihasilkan Johari dan pernah mendapat penghargaan di Seoul Song Festival Korea pada tahun 1979 ialah Gadis dan Bunga dan juga Kasih Sayang.