KUALA LUMPUR, 3 September- Penyanyi, komposer dan penulis lirik Faizal Tahir muncul dengan konsert sulung selepas 17 tahun.
Konsert Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur itu diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Anak kelahiran Kuala Lumpur turut berkongsi kembara 17 tahun pembabitannya dalam konsert berdurasi dua jam itu.
Faizal, 45, turut menyampaikan 21 lagu popularnya yang sering menjadi siulan pendengar dan peminat antaranya Santai, Gemuruh, OK, Ragaman, Sampai Syurga, Assalamualaikum, Cuba, Karma, Bencinta dan Mahakarya Cinta.
"Saya memilih WTC sebab banyak perkara manis antaranya mengadakan persembahan berskala besar di sini. Selain itu suasananya selesa dan sistem bunyi yang baik," katanya kepada kira-kira 2,000 penonton.
Konsert itu juga memberi peluang kepada peminat yang sudah lama menantikan kemunculannya.
Pelakon veteran dan pelawak Sabri Yunus diundang sebagai artis jemputan menyanyikan lagu patriotik Faizal berjudul Negaraku dalam versi dikir barat.
Datuk Seri Siti Nurhaliza turut hadir memberikan sokongan kepada Faizal Tahir dan sempat menyanyikan lagu Dirgahayu bersama Faizal Tahir.
Pada awalnya Siti Nurhaliza hadir sebagai penonton namun diajak untuk bersama-sama Faizal di atas pentas untuk menyanyikan lagu secara spontan. Nyanyian duet itu mendapat sorakan daripada semua peminatnya di dalam dewan itu.
Ketika di atas pentas, Faizal mengakui lagu itu "sudah lama tidak dinyanyikan, kali terakhir ia dipersembahkan pada Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM 22) pada 2016."
Perkara sama turut diakui penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza, "sudah lama tidak menyanyi lagu ini, kali terakhir pada AIM22. Saya kena tengok lirik..."
Antara selebriti tempatan yang turut hadir pada konsert itu ialah Alif Satar dan Misha Omar.
Bagaimapun dalam satu sidang media, Faizal berkata "saya mempunyai satu impian sebelum menamatkan karier iaitu untuk mengadakan konsert percuma.
"Ianya bukan mudah, tetapi kalau segalanya dipermudah, saya akan laksanakan untuk semua orang. Tetapi ini hanyalah impian saya," katanya.
(Siti Nurhaliza (kiri) menyanyikan lagu Dirgahayu dengan Faizal Tahir)