fb fb fb fb fb

Universal Music Malaysia umum kerjasama strategik bersama Faithful Music

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Kim Lim (dua dari kiri) bersama Faizal Tahir (tengah) dan wakil

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Syarikat rakaman Universal Music Malaysia (UMM), mengumumkan kerjasama dengan Faithful Music untuk memperkukuh komitmen jangka panjang kedua-dua syarikat dalam melabur kepada bakat baharu tempatan serta memperluas potensi.

Peluang kerjasama itu juga dilihat sebagai ruang dan peluang komersial khususnya buat artis-artis bawah naungan Faithful Music dalam pasaran Nusantara meliputi Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Pengasas syarikat rakaman Faithful Music Faizal Tahir bersama Mike Chan berpendapat kerjasama itu membuka lebih banyak peluang kepada artis-artis Faithful Music untuk berkembang di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Peluang bekerjasama dengan Universal Music Malaysia sangat mengujakan bagi Faithful Music.

"Ini satu pengiktirafan besar terhadap kekuatan lagu serta artis tempatan. Faithful Music ditubuhkan dengan kepercayaan bahawa setiap artis, di mana sahaja peringkat kerjaya mereka, berhak menerima peluang berkualiti tinggi untuk berkembang dan berjaya," kata Faizal.

Sementara itu Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Kim Lim pula, kerjasama tersebut akan membuka peluang kepada lebih bakat tempatan berada seiring dengan artis global.

"Ini bukan sekadar perkongsian, tetapi pelaburan dalam komuniti muzik tempatan. Kami komited menyokong pencipta muzik sedia ada dan masa depan dengan sokongan bertaraf dunia.

"Mencari rakan kongsi yang berkongsi semangat kami untuk menghasilkan lagu dan rakaman ikonik amat penting, dan sebab itu kami gembira bekerjasama dengan Faizal, Mike dan pasukan Faithful Music.

"Dengan fokus UMM tahun ini terhadap muzik positif, segmen kanak-kanak serta usaha membina agensi sehenti untuk jenama, ini adalah masa terbaik untuk memulakan babak baharu yang menarik," katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Asia Tenggara & Naib Presiden Kanan Asia Calvin Wong, kerjasama ini dilihat sebagai potensi untuk bakat baharu mengembangkan karya di peringkat lebih tinggi.

"Kami berbesar hati mengalu-alukan Faithful Music – pengkalan ramai artis muda berbakat – ke dalam keluarga Universal Music Malaysia. Kerjasama ini memperkukuh peranan UMM dalam pasaran Nusantara yang sedang berkembang pesat dan berpotensi besar," katanya.

Keputusan kerjasama itu dimuktamadkan setelah beberapa kolaborasi terdahulu antara UMM dan Faithful Music menunjukkan prestasi cemerlang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI