KOTA BHARU, 31 Mei- Irama klasik terus mendapat tempat di hati pencinta seni suara.
Pertandingan Bintang Klasik anjuran KelantanFM hari ini menyaksikan bakat-bakat baharu bersaing untuk merebut tempat ke peringkat akhir.
Penerbit program, Safavi Zakaria berkata, pertandingan dwitahunan yang diadakan di Auditorium Titian Murni itu bukan sekadar mencari suara, namun bakat yang boleh menghidupkan kembali jiwa lagu klasik.
10 peserta terbaik akan mara ke peringkat seterusnya.
"Kita mencari peserta-peserta yang mempunyai bakat yang luar biasa dalam bidang nyanyian dan masih lagi belum merakamkan album. Untuk menyertai uji bakat kali ini, kita buka untuk peserta yang berumur antara 18 hingga 35 tahun," kata Safavi kepada pemberita, hari ini.
Sementara itu, bagi peserta, mereka teruja menyertai uji bakat tersebut dan menjelaskan bahawa irama klasik memerlukan aspek penghayatan, mutu vokal dan keaslian dalam persembahan.
"Nak bawa lagu klasik ini susah. Ia tidak boleh diubah sesuka hati dan setiap ciptaan itu ada air lagu yang tersendiri. Harapannya agar semua dipermudahkan," kata Adeela Rahayu Roslan.
"Saya biasa menyanyikan lagu nasyid. Tetapi, ini adalah kali pertama untuk saya cuba kategori solo. Harapnya layak ke pusingan seterusnya," kata Muhammad Syahmi Irsyad.
Pertandingan berkenaan tidak hanya membuka ruang kepada generasi muda menonjolkan bakat, malah menjadi wahana memperkukuh seni budaya bangsa melalui lagu.
Sebanyak 22 lokasi uji bakat Bintang Klasik 2025 dan kesemua peserta diberi pilihan sebanyak 12 lagu bagi kategori lelaki dan wanita.
Dengan penganjuran dwitahunan yang terus mendapat sokongan penaja utama, NESQ dan beberapa rakan strategik lain, pentas Bintang Klasik diyakini mampu menjadi platform terbaik dalam memartabatkan muzik warisan.