KUALA LUMPUR, 31 Mei – Cereka Khas Srikandi tampil sebagai karya epik moden yang mengangkat warisan klasik Melayu ke pentas arus perdana, berinspirasikan Syair Siti Zubaidah Perang China.
Karya tersebut menggabungkan unsur realiti dan fiksyen era pra abad ke-16 dengan suntikan seni budaya tempatan seperti silat, tarian warisan, syair Melayu serta bahasa klasik yang indah.
Lebih daripada sekadar hiburan, Srikandi mengangkat tema perjuangan emosi, jati diri dan semangat mempertahankan maruah, hak serta kedaulatan bangsa.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menyifatkan naskhah itu sebagai satu usaha inovatif dan membanggakan.
“Penggunaan peralatan berkualiti tinggi menjadikan produksi ini setaraf dengan karya layar perak.”
Lebih istimewa, naskhah skrip Srikandi turut didokumentasikan dalam bentuk buku sebagai rujukan akademik dan khazanah seni negara.
“Kenapa orang suka tengok the making of? Sebab orang nak tahu apa berlaku di belakang tabir, skrip dia macam mana, apa yang ditulis.
Saya rasa ini adalah satu usaha yang sangat bagus. Bukan hanya pelajar filem atau penulis skrip, orang biasa pun boleh belajar. Kalau ditayangkan di TV, kita tengok sekali lalu. Tapi kalau dalam bentuk cetakan, kita boleh rujuk berkali-kali,” katanya.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari pula menyambut baik inisiatif itu yang menurutnya memperkenalkan semula karya agung dalam bentuk lebih segar dan menarik.
“Ini antara yang terbaik kerana kita pindahkan hikayat berlatarkan syair abad ke-17 ke bentuk filem atau drama.
Tak semua orang berpeluang membaca hikayat bercetak. Tapi apabila dipersembahkan dalam bentuk filem atau drama, khalayak dapat menikmati dan merasainya secara lebih santai.
Secara tidak langsung, kita berjaya memindahkan khazanah ilmu dan latar tamadun lama ke medium moden,” katanya.
Srikandi bakal ditayangkan pada 31 Ogos ini, menerusi saluran TV2 dan platform RTMKlik pada pukul 9 malam.
Antara yang turut membintangi Srikandi ialah pelakon veteran, Mubarak Majid yang memegang watak Temenggung.
“Saya terharu atas pelawaan RTM untuk terlibat dalam drama Srikandi.
Walaupun peranan saya tidak besar, kita perlu beri komitmen penuh terhadap setiap watak yang diamanahkan. Itu yang paling penting,” ujarnya.