fb fb fb fb fb

FINAS pacu kerjasama industri menerusi Festival Filem China-Malaysia

Majlis Pelancaran China-Malaysia Film Culture Festival 2025 edisi ke-2 semalam/Foto FINAS

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) perkukuh peranannya sebagai penghubung strategik dalam memacu kerjasama industri perfileman antara Malaysia dan China.

Usaha itu diterjemahkan menerusi penganjuran edisi kedua Festival Budaya Filem China-Malaysia yang sedang berlangsung di ibu negara hingga 8 Jun depan.

Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, berkata festival ini bukan sekadar platform tayangan filem, malah menggalakkan kerjasama rentas sempadan dalam penerbitan, pertukaran teknologi serta peluasan pasaran kandungan antara dua negara.

"China mempunyai lebih 80,000 pawagam, manakala di Malaysia hanya beberapa ribu, jadi sasaran mereka sangat besar.

"Jadi dari segi pertukaran kandungan, kita boleh hasilkan karya untuk pasaran tempatan yang juga boleh ditayangkan di China.

"Di sinilah peranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebagai jambatan yang menghubungkan penerbit Malaysia dengan rakan industri di China," katanya.

Beliau berkata, insentif rebat 30 peratus daripada perbelanjaan produksi di Malaysia memberi manfaat besar kepada negara.

Tambahnya, 70 peratus daripada jumlah itu telah dibelanjakan dalam negara sekali gus menyumbang kepada ekonomi tempatan.

Festival tahun ini menampilkan gabungan filem klasik dan kontemporari dari kedua-dua negara.

Antaranya The Goddess (China), It’s a Mad, Mad, Mad World (Hong Kong), serta Creation of the Gods I & II, selain filem negara seperti Guang, Sepet, dan Blooms of Happiness yang mengetengahkan nilai budaya tempatan.

Selain tayangan, festival ini turut mengadakan forum, bengkel dan sesi interaktif, termasuk Forum Sinema dan Forum AI, yang membincangkan peranan teknologi seperti realiti lanjutan (XR) dan kecerdasan buatan (AI) dalam membentuk masa depan industri filem.

Selepas edisi di Malaysia, festival ini akan diteruskan di Xi’an, China, sebagai usaha memperluas kerjasama kreatif dan merapatkan hubungan budaya antara dua negara melalui sinema.

Semalam, festival anjuran Lomo Pictures itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di ibu negara.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, penganjur festival Aron Koh, Ketua Pameran Pan Vui Shang, serta Pengarah China Film Archive, Li Tao.

GRACE AISYAH KEDAYAN