fb fb fb fb fb

'Tidak miming, akan menari macam dahulu'- janji 4U2C pada konsert 15 September depan

Kumpulan 4U2C

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Selepas sekian lama menghilang dari radar muzik tempatan, kumpulan hip hop legenda era 1990-an, 4U2C bakal mengubat kerinduan peminat setia mereka dalam sebuah konsert eksklusif bertajuk ‘WE 4U2C Live in Concert’ di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September.

Dengan tema yang cukup menggamit nostalgia,’Bringin Back Da 90’s Flava’, konsert ini bukan sahaja menampilkan lagu-lagu malar segar seperti Fiona, Kami Rappers dan I Miss U, malah turut mempersembahkan tiga lagu baharu yang terdiri daripada satu lagu balada dan dua lagu rancak sebagai satu kejutan istimewa buat para peminat yang setia menunggu.

Kumpulan yang terdiri daripada Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam ini tidak mahu sekadar mengimbau nostalgia sahaja, malah menurut AC Mizal, konsert ini adalah impian yang menjadi kenyataan buat mereka semua.

“Ini memang mimpi jadi kenyataan. Kami janji, persembahan kali ini bukan sekadar nyanyian ‘miming’ tetapi kami akan menari dan menghiburkan seperti dulu, tiga dekad yang lalu,” katanya pada sidang media konsert di Bukit Bintang, semalam.

Menurutnya, idea penganjuran konsert ini bermula daripada isteri beliau, Datin Emylia Rosnaida selepas melihat kejayaan konsert KRU baru-baru ini sebelum pihak Juss Event Sdn Bhd tampil dengan tawaran rasmi. - BERNAMA

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE