KUALA LUMPUR, 25 Jun- Teater "Persiapan Seorang Aktor" bakal dipentaskan selama empat hari bermula 17 Julai ini di Petaling Jaya Performing Arts Centre.
Naskah terbitan Juan Ab Aziz itu mengajak masyarakat menyelami perjalanan seorang pelakon dalam mencari makna dan kejujuran di sebalik setiap watak yang dibawakan.
Pengarah teater itu, yang juga merupakan Ketua Hab Media Kreatif dan Teknologi, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Dr Syahrul Fithri Musa, berkata menerusi pementasan kali ini, pihaknya mengangkat elemen artistik, selain penambahbaikan daripada sudut percahayaan.
"Pementasan sebelum ini berskala lebih kecil, terutamanya ketika kami melaksanakannya di ruang studio pada tahun lepas. Oleh itu, terdapat beberapa elemen, khususnya daripada segi artistik, yang tidak dapat kami laksanakan sepenuhnya.
"Namun kali ini, dengan adanya ruang yang lebih baik, lebih besar, serta keupayaan produksi yang lebih tinggi, banyak aspek dapat ditambah baik. Penambahbaikan ini merangkumi pencahayaan, set pentas, visual, dan juga persembahan secara langsung.
"Semua elemen tersebut telah kami nilai tambah untuk meningkatkan mutu keseluruhan pementasan," katanya selepas majlis Hi-Tea bersama produksi dan barisan pelakon teater “Persiapan Seorang Aktor" di sini.
Pementasan itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Nam Ron, Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin.
Ia turut mendapat suntikan tenaga kreatif melalui kerjasama strategik bersama Fakulti Filem Teater dan Animasi, UiTM.