fb fb fb fb fb

UNIMAS-RTM perkukuh kolaborasi melalui Konsert Suara 34

Penolong Naib Canselor, Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian UNIMAS, Profesor Madya Ts. Noraziah Abdul Wahab / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyifatkan kerjasama strategik bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai platform penting dalam memperkukuh pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dalam kalangan pelajar.

Penolong Naib Canselor, Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian UNIMAS, Profesor Madya Ts. Noraziah Abdul Wahab berkata program kolaboratif seperti penganjuran Konsert Suara 34 bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu di luar bilik kuliah, malah mendedahkan mereka kepada realiti dunia pekerjaan dalam industri penyiaran.

“Kita tahu, pelajar universiti banyak menghabiskan masa dalam kuliah, makmal dan studio. Jadi, apabila diberi peluang berkolaborasi dengan RTM, ia memberi ruang untuk pelajar mengasah kemahiran mereka dalam konteks dunia sebenar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, di sini.

Tambah beliau, kerjasama tersebut berpotensi melahirkan pelajar yang lebih holistik, bersedia menghadapi cabaran kerjaya serta membuka peluang penyelidikan dan perkongsian ilmu antara UNIMAS dan RTM pada masa hadapan.

Konsert Suara 34 bagi Zon Sarawak akan berlangsung pada 28 Jun ini di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), UNIMAS, dengan menampilkan pembaharuan istimewa – lagu tema khas ciptaan Unit Hiburan RTM Sarawak sendiri.

Penerbit konsert, Mohd Redza Razali berkata lagu tersebut merupakan penambah nilai baharu dalam format Konsert Suara, dan akan didendangkan secara eksklusif pada malam konsert oleh barisan artis tempatan.

“Kalau kita lihat konsert sebelum ini, tiada lagu khas yang mewakili konsep. Untuk Konsert Suara Zon Sarawak, kita tampilkan kelainan dengan lagu tema eksklusif ciptaan RTM Sarawak, yang akan dinyanyikan oleh artis-artis tempatan kita sendiri,” ujarnya.

Antara artis yang bakal membuat persembahan termasuk Roxy Rodzie (juara Bintang RTM), Azim Mustafa, Boy Yusof, dan Zizi Kirana. Turut memeriahkan pentas ialah tiga artis popular dari Semenanjung – Tomok, Rahmat Mega, dan Liza Aziz.

Konsert itu dibuka secara percuma kepada umum, dan warga Kuching serta Samarahan diseru hadir beramai-ramai bagi memeriahkan acara berkenaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN