KUALA LUMPUR, 16 Februari- Kumpulan rock Ireland, The Script kembali mengegarkan Kuala Lumpur selepas kehadirannya sedekad lalu.
Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu terus menambat hati penonton dengan persembahan memukau dan penuh bertenaga.
The Script membuka tirai konsert Satellites mereka di Pentas Mega Star Arena dengan lagu 'You Won't Feel A Thing', 'Superheroes' dan 'Both Ways'.
Kumpulan Ireland itu terus memukau dengan persembahan penuh emosi menerusi lagu popular seperti 'Man Who Can't Be Moved', 'Breakeven' dan 'For the First Time'.
Turut didendangkan, 'If You Could See Me Now' bagi mengenang mendiang gitaris mereka, Mark Sheehan yang meninggal dunia pada 2023.
The Script terus memberi persembahan penuh dinamik dan bertenaga sehingga akhir menerusi lagu ikonik mereka 'Hall Of Fame'.
Konsert tersebut nyata mengubat rindu peminat setia kumpulan rock Ireland itu sekali gus membuktikan keunggulan mereka dalam industri hiburan global.