LOS ANGELES, 19 Februari- Penyanyi rap terkenal A$AP Rocky dibebaskan daripada tuduhan serangan feloni selepas mahkamah memutuskan beliau tidak bersalah dalam kes yang dibicarakan pada Selasa.
Keputusan itu sekali gus melegakan penyanyi berusia 35 tahun itu yang sebelum ini berdepan kemungkinan hukuman penjara melebihi dua dekad sekiranya didapati bersalah atas dakwaan menyerang seorang bekas rakan di Hollywood pada tahun 2021.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mendakwa A$AP Rocky, atau nama sebenarnya Rakim Mayers, telah melepaskan tembakan ke arah bekas rakannya dalam satu insiden yang berlaku di Los Angeles.
Bagaimanapun, pasukan pembelaan menafikan dakwaan tersebut dan berhujah bahawa tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan artis berkenaan dengan serangan berkenaan.
Keputusan mahkamah itu juga disambut baik oleh peminat serta keluarga A$AP Rocky, termasuk pasangannya, penyanyi terkenal Rihanna.
Pasangan selebriti itu mempunyai dua anak bersama dan sering menjadi perhatian di pentas hiburan antarabangsa.
Kes itu sebelum ini menarik perhatian ramai kerana ia melibatkan seorang figura terkenal dalam industri muzik dan perbicaraannya berlangsung selama beberapa bulan sebelum mahkamah akhirnya membuat keputusan memihak kepada pihak pembelaan.-AFP