fb fb fb fb fb

Rekod perubatan Shakira bocor, pihak berkuasa Peru buka kertas siasatan

Shakira, 48, yang juga pemenang empat Anugerah Grammy, dikejarkan ke unit kecemasan sebuah klinik di Lima pada Sabtu akibat masalah abdomen, menyebabkan konsertnya pada Ahad terpaksa dibatalkan

LIMA, 19 Februari- Penyanyi terkenal Shakira kini menjadi perhatian di Peru selepas rekod perubatannya didakwa bocor ke media sosial, mencetuskan siasatan rasmi serta ancaman denda berat daripada pihak berkuasa negara itu.

Shakira, 48, yang juga pemenang empat Anugerah Grammy, dikejarkan ke unit kecemasan sebuah klinik di Lima pada Sabtu akibat masalah abdomen, menyebabkan konsertnya pada Ahad terpaksa dibatalkan.

Bagaimanapun, tidak lama selepas menerima rawatan, laporan perubatannya tersebar di media sosial, mencetuskan kemarahan dalam kalangan peminat dan mendorong pihak berkuasa kesihatan Peru melancarkan siasatan.

Menurut jurucakap pengawas perkhidmatan kesihatan Peru, Ruby Cubas, siasatan sedang dijalankan dan klinik berkenaan boleh dikenakan denda sehingga AS$430,000.

"Kami telah bertemu dengan pihak pengurusan klinik, mereka telah memberikan penjelasan yang bersifat sulit," katanya kepada AFP.

Klinik Delgado, tempat Shakira menerima rawatan, turut menyatakan mereka sedang menyiasat pelanggaran etika serius yang berlaku dan telah mengambil tindakan terhadap pihak yang terbukti bersalah.

Shakira kini dalam rangka jelajah dunia pertamanya dalam tujuh tahun. Selepas selesai mengadakan hampir 50 konsert di Amerika Latin menjelang akhir Jun, beliau dijangka meneruskan persembahan di Amerika Syarikat dan Kanada.

Dalam konsertnya di Lima pada Isnin, penyanyi lagu Hips Don’t Lie itu meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada peminat Peru atas kasih sayang yang diberikan.

Jelajah dunia "Las Mujeres Ya No Lloran" (Wanita Tidak Menangis Lagi) ini bermula di Rio de Janeiro hanya beberapa hari selepas Shakira memenangi anugerah Grammy bagi kategori Album Pop Latin Terbaik, yang didedikasikan kepada para migran di Amerika Syarikat.

Lebih 90 juta rekod terjual di seluruh dunia, Shakira terus mengukuhkan namanya sebagai salah seorang bintang Latin paling berpengaruh dalam sejarah industri muzik.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE