fb fb fb fb fb

The Lord Musang King satukan pelakon Malaysia, Korea Selatan

Foto FB Muhammad Yusuf Bahrin

KUALA LUMPUR, 25 Disember- Merungkai kegiatan eksport dadah melalui pemerdagangan durian musang king menjadi taruhan pengarah dari Korea Selatan, Lee Moon Ho menerusi filem The Lord Musang King.

Penerbitnya, Ong Peng Chu berkata filem yang menjalani penggambaran selama 21 hari di Malaysia itu turut menerima Dana Kandungan Digital daripada Kementerian Komunikasi.

Katanya, filem terbitan Hundred Years Popcorn Production dan syarikat pengedar Metrowealth Production itu menggunakan Bahasa Melayu, Inggeris dan Korea.

"Malaysia tidak pernah ada kerjasama dengan Korea Selatan dalam bidang perfileman, jadi saya mula cari rakan kongsi Korea Selatan sekiranya sudi datang ke Malaysia, mulanya ramai cakap kos itu sangat tinggi. Pengarah, Lee Moon Ho memang seorang yang berpengalaman dan merendah diri serta seorang yang serius dalam bekerja," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, pelakon, Yusuf Bahrin berkata beliau sangat berbangga kerana terpilih memegang watak Haiqal iaitu watak utama filem itu.

"Ini satu pencapaian baharu buat diri saya, saya sangat bersyukur sebab ramai sebenarnya yang mengimpikan watak ini. Ia boleh dikatakan rezeki dan saya sangat berbesar hati dan teruja kerana dapat bekerja dengan pengarah luar dari Korea Selatan, selain dapat bekerjasama dengan pelakon luar," kata Yusuf.

Filem aksi yang dibintangi barisan pelakon hebat tanah air dan Korea Selatan itu mula ditayang di pawagam sejak 21 Disember lalu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM