fb fb fb fb fb

Terengganu, wakil Zon Timur ke Pertandingan Bintang P. Ramlee Peringkat kebangsaan 2022

(MD Wahidul Zaman (kiri) dan Shaira Nur Azmina, Juara Pertandingan Bintang P. Ramlee Peringkat Zon Timur 2022)

KUANTAN, 21 Ogos- Peserta dari negeri Terengganu, dipilih sebagai Juara Pertandingan Bintang P. Ramlee Peringkat Zon Timur 2022 yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Lagu berjudul Barang Yang Lepas Jangan Dikenang dan Puteri Bersiram, nyata membawa tuah kepada MD Wahidul Zaman Baharuddin dan Shaira Nur Azmina Mohd Nasir.

Bagi MD Wahidul Zaman, 37 tahun, beliau tidak menyangka penyertaan kali kelima bagi dirinya dalam pertandingan itu, sekali lagi membawanya ke pentas final.

Sebelum ini, beliau pernah tiga kali berentap di pentas akhir termasuk dua kali memperoleh tempat ketiga.

“Memang tidak sangka sebenarnya kerana semua peserta memberi saingan yang sengit. Kami pun tidak menjangkakan mendapat tempat pada malam ni, Alhamdulillah rezeki kami, "katanya.

Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya Terengganu itu berkata, beliau dan pasangan duetnya, Shaira Nur Azmina, 26 tahun, akan mula melakukan persiapan rapi sebelum beraksi di pentas final.

“Untuk saya ini kali pertama saya masuk Bintang P Ramlee. Alhamdulillah tak sangka tahun ni rezeki berpihak kepada kami,” kata Shaira.

Beliau berkata demikian ketika di temubual selepas diumumkan sebagai Juara Pertandingan Bintang P. Ramlee Peringkat Zon Timur 2022, menewaskan lima pasangan lain, termasuk peserta dari negeri Pahang dan Kelantan.

Hadiah disampaikan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud.

Pertandingan Bintang P. Ramlee Peringkat kebangsaan 2022 akan berlangsung di Sarawak, 15 Oktober depan, melibatkan Zon Selatan, Timur, Utara, Tengah, Sabah dan Sarawak; dengan enam pasangan peserta akan beraksi.


(Pertandingan Bintang P. Ramlee Peringkat Zon Timur 2022 berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi)

Media Baharu