fb fb fb fb fb

Temui “Ivan & Suhaimi”, ekslusif di RTMKlik 3 Mei ini

Grafik RTM

KUALA LUMPUR, 30 April –Bermula 3 Mei ini, secara eksklusif menerusi platform RTMKlik, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan porgram bual bicara serba baharu, bertajuk Ivan & Suhaimi.

Program penuh maklumat dengan perspektif unik itu dikemudi dua personaliti media negara iaitu Datuk Suhaimi Sulaiman dan Ivan Toh Swee Ming.

Duo dinamik dengan gabungan pengalaman masing-masing akan mengupas pelbagai topik berkaitan selok-belok media dan kehendak pemasaran masa kini.

Suhaimi selaku Ketua Pengarah Penyiaran, berpengalaman selama 32 tahun dalam pelbagai bidang kerjaya merangkumi penyiaran, kewartawanan, penciptaan kandungan pemasaran dan komunikasi strategik.

Manakala Ivan Toh selaku Pengarah Bahagian Media Digital Interaktif, merupakan personaliti RTM yang sangat dikenali dengan komitmen dan ketrampilan beliau dalam bidang penyiaran, pengacaraan, editorial, selama hampir 20 tahun pasti menawarkan perbincangan berkualiti untuk khalayak penonton.

Menyedari sifat komunikasi dunia sebenar dan penguasaan dwi-bahasa ramai rakyat Malaysia, Ivan & Suhaimi akan dikendalikan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Pendekatan dwi-bahasa ini memastikan akses dan capaian penonton lebih terangkum dan menjadikan rancangan itu dapat dinikmati lebih banyak khalayak penonton.

Setiap episod Ivan & Suhaimi menjanjikan kupasan kritikal biarpun bersiaran dalam tempoh 10 minit. Ia merangkumi analisis semasa dan kupasan mendalam dengan fokus perbincangan berkisar tentang komunikasi pemasaran, pengurusan persepsi dan pengukuhan jenama.

Ivan & Suhaimi bersiaran menerusi platform OTT kegemaran anda, RTMKlik. Muat naik sekarang, juga boleh ikuti kami di semua platform media sosial RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI