KUALA LUMPUR, 18 September – Filem seram Tembuni Berdarah yang mengisahkan ideologi dua generasi berhubung pemakaian susuk dalam dunia estetika kecantikan serta amalan syirik sebagai jalan pintas mencapai kejayaan.
Filem itu mengisahkan Dr Izara (lakonan Sophia Albarakbah), seorang usahawan muda yang bercita-cita mengembangkan empayar produk kecantikannya dengan berpegang pada prinsip tiada jalan pintas untuk berjaya – hanya usaha dan kerja keras mampu merealisasikan impian. Namun, neneknya Bok Miah (Khatijah Tan), seorang pengamal ilmu hitam, mempunyai pandangan bertentangan.
Diterbitkan Lindo Production Sdn Bhd, karya seram terbaharu arahan Dr Ahmad Idham itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Shahirah Shahora, Riezman Khuzaimi dan Mia Nasir.
Mengulas mengenai filem terbaharunya, Dr Ahmad Idham berkata, meskipun telah banyak menghasilkan filem pelbagai genre, permintaan penonton untuk melihatnya kembali dengan naskah seram seakan ‘Jangan Pandang Belakang’ dan ‘Congkak’ tetap tinggi.
“Apa yang boleh saya katakan, Tembuni Berdarah memang memiliki ‘aura’ seperti dua filem seram saya terdahulu. Bezanya, kali ini saya cuba menonjolkan pertembungan ideologi antara generasi lama dan baharu dalam konteks penggunaan amalan syirik.
“Filem ini juga dekat dengan realiti hari ini, terutama apabila dikaitkan dengan dunia estetika kecantikan. Kita dapat lihat ramai memilih rawatan moden untuk kelihatan cantik dan awet muda. Justeru, saya cuba gabungkan tema ini dengan elemen seram agar lebih relevan,” jelasnya pada Malam Gala dan Sidang Media Tembuni Berdarah.
Tambah beliau, bagi menyesuaikan diri dengan selera penonton masa kini, elemen drama yang terlalu panjang dikurangkan, digantikan dengan lebih banyak kejutan bagi mengekalkan momentum ketegangan.
“Filem seram Melayu lazimnya tidak lari daripada elemen saka. Manakala filem seram Indonesia pula lebih cenderung menampilkan hantu kuntilanak sebagai subjek utama. Jadi, saya cuba beri identiti tersendiri untuk Tembuni Berdarah,” ujarnya lagi.
Tembuni Berdarah menjalani penggambaran selama 20 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, sebelum dan ketika Ramadan lalu. Tembuni Berdarah bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air mulai 25 September 2025.