KUALA LUMPUR, 18 September – Konsert Exists Premiun Live@PJ ditunda pada 20 Disember yang dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober depan ditunda pada 20 Disember, susulan beberapa pertimbangan teknikal. Keputusan itu dicapai hasil kesepakatan antara Exists dan penganjur, JioBuddy.
JioBuddy dalam satu kenyataan memaklumkan tarikh baharu itu dipilih kerana lebih sesuai serta seiring dengan hasrat menjadikan konsert itu benar-benar premium dan eksklusif, selaras dengan judul yang dibawa.
“Dengan rendah hati kami di JioBuddy mengumumkan bahawa Exists Premium Live@PJ ditunda ke 20 Disember 2025 di lokasi dan waktu yang sama. Penundaan ini adalah hasil persetujuan bersama Exists agar penganjuran konsert bukan sekadar persembahan biasa, tetapi benar-benar menepati konsep premium,” ujar Sean Ng dari JioBuddy.
Bagi Exists sendiri, penundaan tersebut dilihat sebagai peluang untuk memperkemas persiapan, khususnya dari segi teknikal, bagi memastikan konsert berskala besar terakhir mereka tahun ini mencapai standard tertinggi.
“Tarikh baharu ini memberi ruang kepada kami untuk memperhalusi setiap aspek teknikal agar mutu persembahan berada di tahap terbaik. Exists sentiasa mementingkan kualiti dan menghargai setiap sokongan peminat. Kami mahu ‘pesona mewah’ konsert ini menjadi momen yang tidak dilupakan,” kata Along mewakili Exists.
Sementara itu, pemain bass Exists, Musa berkata, konsert tersebut akan mengubati kerinduan peminat Exists untuk menonton persembahan berkenaan.
“Kami mahu peminat merindui dan menjadikan Exists Premium Live@PJ pada 20 Disember nanti sebagai pesta menikmati persembahan premium Exists,” katanya.
Pihak JioBuddy turut yakin penundaan itu tidak menjejaskan sambutan kerana Exists sudah terbukti sebagai kumpulan yang melahirkan banyak karya malar segar sejak penubuhan mereka pada 1991.