fb fb fb fb fb

Pentas AIM24, diungguli Universal Music Malaysia & Faithful Music

Ernie Zakri & Ade Govinda

KUALA LUMPUR, 18 September – Universal Music Malaysia (UM) bersama Faithful Music sekali lagi membuktikan dominasi mereka dalam industri muzik tempatan apabila merangkul 10 anugerah di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai syarikat rakaman nombor satu negara.

 Antara kemenangan utama yang diraih termasuk Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik – Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda),Kulit Single/Album Terbaik – Iman (Irfan Ramos), Rakaman Lagu Terbaik – Aura (John Jeeves), Album Terbaik – Belagu II (terbitan Aubrey Suwito – edaran UM), Lagu Paling Tinggi Distrim – Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda).

Album Belagu II nyanyian Dayang Nurfaizah turut menerima hadiah utama berupa Dana Kandungan Digital (DKK) bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.

AIM24 juga mengangkat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dengan penganugerahan tertinggi Anugerah Sri Wirama sebagai penghormatan atas sumbangan gemilang beliau sepanjang tiga dekad dalam industri muzik tanah air.

Sementara itu, pemenang dua trofi, Ernie Zakri, meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut.

“Kemenangan ini amat bermakna, bukan hanya untuk saya tetapi juga seluruh pasukan kreatif yang menjayakan album Aura dan lagu Masing-Masing. Ia bukti bahawa muzik Malaysia mampu menembusi pasaran serantau. Terima kasih kepada Universal Music Malaysia, AIM24 dan semua peminat yang terus menyokong,” katanya.

AIM24 turut memukau dengan rangkaian persembahan menarik antaranya pembukaan kumpulan sensasi DOLLA bersama Tobii dari Def Jam Thailand, kolaborasi istimewa Ernie Zakri bersama Anggi Marito dari Universal Music Indonesia serta persembahan penuh emosi Ernie bersama Ade Govinda dari MyMusic Records.

Pada masa sama, nama besar Faizal Tahir turut mencuri tumpuan apabila menggondol empat trofi menerusi kategori  Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik – Campak Bintang (duet bersama Datuk M Nasir),  Lagu Nasyid Terbaik – Biar Satu Dunia Tahu (bersama Mirwana), Lagu Perpaduan Terbaik – Bendera, Lagu Dengan Hasilan Video Tertinggi di TikTok – Santai.

Mengulas kejayaan itu, Faizal amat bersyukur dengan anugerah yang diberikan selain mahu karya yang dihasilkan terus menambat hati pendengar.

"Saya amat bersyukur dengan setiap pengiktirafan yang diberikan. Bagi saya, muzik adalah medium dan amanah untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat. Apa yang lebih penting adalah mesej itu sampai dan menyentuh hati pendengar,” katanya.

Kemenangan kali ini turut menjadi momen bersejarah buat nama-nama baharu seperti Hanis Rafi, Iqie Hugh, Glowrush, Fahimi dan Firdaus Rahmat yang pertama kali diraikan di pentas AIM24.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI