KUALA LUMPUR, 3 April 2024- Telefilem khas "Raya Tak Nampak" bakal menemui penonton sempena Aidilfitri yang bakal tiba.
Drama terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu diarahkan bersama oleh Nor Ashikin Zainal, Wan Afzam Wan Daud dan Fatin Athiera Dzul Hanafiah, daripada Unit Drama TV RTM.
Antara barisan pelakon terbaik yang ditampilkan adalah Wani Kayrie, Danial Zaini, Mamak Puteh, Imran Aqil, Zila Bakarin, Mandy Chong, Munir Zainal dan Sasikumar Kandasamy.
Drama dipilih mengisi slot Panggung RTM menemui penonton pada 13 April ini, pukul 9.00 malam di TV1 juga secara percuma melalui penstriman RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).
Telefilem "Raya Tak Nampak" mengisahkan tiga lelaki bujang (Danial Zaini, Imran Aqil dan Mamak Puteh) yang berniaga di bazar Ramadan, namun jualan mereka tidak mendapat sambutan memberangsangkan.
Ketiga-tiga mereka kemudiannya bertemu dengan 'Raya', seorang gadis yang sanggup menyamar menjadi buta di bazar Ramadan, bagi mendapatkan markah cemerlang dalam pengajiannya.
Konflik tercetus apabila masing-masing Oyen, Sapok dan Elly cuba memikat Raya dengan menawarkan gadis berkenaan pulang bersama mereka untuk berhari raya.
Pelbagai ragam terpaksa ditempuhi mereka untuk menyambut lebaran dan pastinya akan mencuit hati para penonton.