fb fb fb fb fb

RTM saji 15 program baharu sempena Aidilfitri

Foto/RTM

KUALA LUMPUR, 3 April –Sebanyak 15 program baharu bakal memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini menerusi siaran di pelbagai saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sama ada di TV1, TV2 dan TV Okey.

Sajian istimewa khas buat penonton setia RTM itu merangkumi pelbagai seleksi kandungan hebat seperti program-program kerohanian, telefilem, drama bersiri, hiburan, sketsa, sitkom, variasi, bual bicara dan banyak lagi yang juga boleh distrim secara dalam talian melalui RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my) secara percuma.

Program akan mula bersiaran dari malam raya, seperti Gema Takbir, Siaran Gema Raya, Solat Sunat Aidilfitri, Borak Dulu Baru Buka (Khas Syawal).

Turut disiarkan drama-drama terbaik menyentuh emosi menerusi slot Panggung RTM iaitu Raya Tak Nampak (13 April, 9.00 malam) dan Abyad Sofi (20 April, 9.00 malam).

Telefilem Raya Tak Nampak terbitan Unit Drama TV RTM, mengisahkan misi tiga bujang cuba menyelamatkan seorang gadis buta yang sehelai sepinggang untuk pulang beraya menjadi huru hara apabila lakonan si buta pecah tembelang dan mereka dikejar gangster sebenar. Membariskan pelakon Wani Kayrie, Danial Zaini, Imran Aqil dan Mamak Puteh.

Manakala Abyad Sofi pula mengangkat kisah penghidap penyakit sindrom OCD yang berdepan dengan orang sekelilingnya, lakonan Mimi Ernida, Fikry Ibrahim dan Kazar Saisi.

Selain itu, program-program hiburan menarik seperti Temasya Aidilfitri (1 Syawal, 9.00 malam), Bedayang Ta’ Aidilfitri terbitan RTM Sabah (1 Syawal, 1.30 petang) dan Berambeh Raya terbitan RTM Sarawak (2 Syawal, 1.30 petang). Bagi peminat program bual bicara santai, boleh saksikan Cuit Sikit Jangan Sentap, Iris Wanita, Panorama, dan Planet Sukan.

Di TV2, 10 program istimewa turut disiarkan merangkumi filem-filem terbaik seperti, Paskal (1 Syawal, 9.00 malam), Spider-man: No Way Home (3 Syawal, 9.00 malam), dan Toolsidas Junior (5 Syawal, 9.00 malam). Turut disiarkan telemovie bertajuk Ustazah Ekspress (2 Syawal, 9.00 malam).

Kemeriahan Syawal turut diriuhkan lagi dengan rancangan hiburan Riang Riuh Raya (4 Syawal, 9.00 malam) dan Radar Skrin (5 Syawal, 11.00 pagi) iaitu program terbaharu RTM yang menampilkan hos Tyzo Xander.

TV2 turut menghadiahkan tayangan Havoc Raya Bintang RTM (2 Syawal, 9.00 malam); menampilkan peserta-peserta Bintang RTM 2024 juga barisan artis Datuk Syafinaz Selamat, Liza Hanim, dan Haqiem Rusli.

Saluran Okey pula akan menyajikan rancangan Masak Sana Sini New York Khas Raya (1 Syawal, 12.00 tengahari), menyaksikan Nabila Huda akan membawa penonton ke kota nombor 1 dunia iaitu New York untuk memasak juadah Raya secara mudah dan ringkas selain meraikan hari Raya bersama anak-anak Malaysia yang merantau di kota New York.

Saksikan juga dua telemovie terbaik iaitu Serambi Syurgamu (3 Syawal, 10.00 malam) dan Biniku Ratu Joran (4 Syawal, 10.00 malam).

Serambil Syurgamu menampilkan pelakon Shasha Abedul, Qi Razali dan Normah Damanhuri manakala Biniku Ratu Joran menggandingkan pelakon utama Arief Yong dan Dayana Roza. Khas edisi Raya turut disiarkan program seperti Versus, Steadey, dan Fresh Brew.

Raikan pelbagai program Syawal bersama-sama kami setulus hati di RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI