KUALA LUMPUR, 9 November- "Tegap Berdiri" merupakan hasil ciptaan Aizat Amdan bersama-sama Mel Ramlan dan Izzy Musa, terbitan Kasi Gegar Entertainment (KGE).
Ia merupakan ciptaan secara tidak sengaja ketika Aizat mengendalikan sesi audio siar bersama-sama Mel dan abangnya, Amar.
"Ketika itu, kami berbincang tentang hal-hal semasa, tentang zaman kegemilangan sukan bola sepak negra di sekitar tahun 1998, terdetik di hati, sekali pun kalah 'di akhir nanti kau masih tegap berdiri' yang menjadi bait-bait lirik lagu saya.
"Mesej lagu ini tentang perjuangan, ada kalanya menang dan ada kalanya kalah dalam hidup, sudah menjadi lumrah kehidupan di mana ada pasang surutnya, kadangkala naik dan turun, namun apa yang penting, kehidupan perlu diteruskan dengan minda yang positif," katanya.
Ia juga merupakan rentetan sejak Aizat mula berjinak-jinak dalam sukan Muay Thai yang sudah lama diminati sejak tahun 2015.
Pada 12 Oktober lalu Aizat juga meneyertai perlawanan pertamanya secara amatur berikutan kesediaan dan
Lagu berkenaan juga mengambil masa hampir setahun untuk dihasilkan, setelah melalui proses perbincangan, dengan minat terbaharunya dalam sukan Muay Thai, akhirnya lagu berkenaan dipilih sebagai hantaran halwa telinga untuk semua pendengar.
"Kali ini saya bawakan lagu dalam genre pop dengan pengaruh muzik 'City Pop' yang popular disekitar tahun 80-an di Jepun. Saya olahkannya dalam versi sendiri dengan melodi masa kini, lalu saya gelarkannya 'KL-City Pop'," katanya lagi.
Lagu berkenaan turut disokong dengan penghasilan sebuah video muzik berkonsepkan cereka pendek yang mengisahkan perjalanan Aizat ketika mula-mula menceburi sukan Muay Thai bermula latihan 'biasa-biasa' hingga perlawanan pertama.
Ditanya berkenaan Aizat lama tidak muncul dengan mana-mana lagu baharu, pemilik nama sebenar Muhamad Aizat Amdan itu punya alasan sendiri.
"Saya kurang gemar penghasilan lagu yang bertubi-tubi, dan lebih rela mengambil masa merangka apakah langkah seterusnya dalam kerjaya saya sebagai penyanyi. Sebagai contoh, saya mengehadkan kepada penghasilan lima buah lagu sahaja dalam setahun," katanya.
Sementara itu ketika mengulas berkenaan Aizat AF, Ai.Z mahupun Aizat Amdan, Aizat menyifatkan semuanya berpaksi pada seni karya yang satu.
"Saya cuba jadi diri sendiri, versi diri saya yang paling asli, dan tranformasi itu penting buat semua orang kerana ada perkembangan di situ.
"...dan saya suka tonjolkan beberapa sisi lain Aizat Amdan, kerana semua yang saya lakukan adalah atas nama seni," katanya.
Ketika mengakhiri perbualan Aizat berharap agar semua yang mendengar lagu baharu itu akan terhibur.
"Dengarkan ketika bersenam, sama ada di rumah mahupun gim, ataupun ketika merasa 'down'. Ingatlah untuk mencabar diri dengan sesuatu yang baharu, biarpun kalah namun bangkit semula dan 'tegap berdiri'," katanya mengakhiri perbualan.
Tegap Berdiri boleh didengari melalui aplikasi penstriman dalam talian, manakala muzik video lagu berkenaan boleh ditonton di saluran YouTube Aizat Amdan.