fb fb fb fb fb

Teater Muzikal Puteri Hang Li Po dipentaskan semula Oktober Ini

Setelah 20 tahun, Istana Budaya akan mementaskan semula Teater Muzikal Puteri Hang Li Po (TMPHLP) sebagai simbolik Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia dan China / Foto FB Istana Budaya

KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Istana Budaya akan mementaskan semula Teater Muzikal Puteri Hang Li Po (TMPHLP) setelah 20 tahun sebagai simbolik Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia dan China.

Pementasan akan berlangsung di Encore Melaka dari 3 hingga 6 Oktober depan.

Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata versi kali ini akan menampilkan 32 gubahan muzik baharu yang mencakupi lagu, tarian dan melodi penceritaan yang dipimpin oleh Pengarah Muzik, Mohd Yazid Zakaria.

"Cabaran utama adalah memastikan kualiti pementasan setanding atau lebih baik daripada versi asal. Dengan kepakaran tenaga kreatif di Istana Budaya, TMPHLP akan berada pada kelasnya yang tersendiri," katanya menerusi kenyataan.

TMPHLP mengangkat tema cinta dan tanggungjawab yang diinspirasikan dari sejarah persahabatan antara Maharaja China dan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15.

Pementasan turut akan menampilkan beberapa artis tempatan terkenal antaranya Dewi Liana Seriestha, Brian Chan, dan Luqman Hafidz

"Teater muzikal berdurasi dua jam ini menggabungkan seni warisan dan kebudayaan Malaysia dan China melalui tarian, busana, seni mempertahankan diri, serta linguistik.

"Dua pemuzik dari China turut dijemput untuk berkolaborasi dengan pemuzik Istana Budaya sebagai simbolik keharmonian antara kedua-dua negara," tambah Zubaidah.

TMPHLP akan berlangsung selama empat hari dengan lima pementasan dari 3 hingga 5 Oktober, serta dua slot matinee pada 5 dan 6 Oktober.

Tiket dijual dengan harga serendah RM48 untuk kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Harga tiket dewasa untuk warganegara Malaysia adalah RM78, manakala untuk bukan warganegara pada harga RM158.

Tiket boleh ditempah melalui platform media sosial Istana Budaya atau melalui kod QR pada poster hebahan.

Sebarang maklumat lanjut, orang awam boleh melayari portal dan platform media sosial Istana Budaya atau menghubungi Unit Perhubungan Awam, Istana Budaya di talian 03-4026 5555 atau e-mel ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN