fb fb fb fb fb

Teater Muzikal Jula Juli Bintang 7, pementasan pembukaan di Istana Budaya selepas dua tahun

(Pementasan teater Muzikal Jula Juli Bintang 7 bakal menjadi pementasaan unggul,
susulan pembatalan pementasan teater muzikal pertama di Istana Budaya bagi tahun
ini ‘Moyang Salleh’ di Panggung Sari/FB ISTANA NEGARA)



KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Kisah bangsawan klasik 'Jula Juli Bintang 7', bakal diangkat ke pentas Istana Budaya selama dua hari iaitu pada 29 dan 30 Oktober ini dengan pelbagai elemen menarik.

Pementasan teater muzikal karya dan arahan Zaifri Husin yang juga Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya ini diadakan dengan memberi lebih banyak peluang kepada penonton pelbagai kaum dalam dan luar negara menyaksikan keunikan budaya kesenian Malaysia.

Zaifri berkata, pementasan itu nanti tentunya mementingkan elemen muzikal terutama dari segi nyanyian, muzik serta lakonan pentas.

"Naskhah ini dipilih kerana kesesuaiannya, ada pelbagai elemen yang kita boleh letakkan dan ianya berkonsepkan fantasi.

Jika ditanya kenapa ada nama bintang 7? Jawapan saya ialah 'tujuh' ini berkait dengan Dasar Kebudayaan Negara yang ada tujuh terasnya dan salah satunya ialah kecemerlangan seni budaya, ini yang mahu kita letakkan," katanya.

Mengulas lanjut pemilihan lagu dalam pementasan muzikal ini, beliau berkata semua yang dimuatkan merupakan lagu ciptaan baharu yang segar.

(Zaifri Husin (gambar atas) dan Shiha Zikir (gambar bawah selepas
sidang media pementasan
Muzikal Jua Juli Bintang 7 di Istana Budaya)


"Ada 30 lagu ciptaan baharu, yang ditulis untuk disampaikan dalam bentuk nyanyian muzikal, dengan pelbagai rasa dan rentak, juga jangan terkejut kerana kita terapkan elemen moden termasuk genre rap walaupun ianya persembahan bangsawan, supaya lebih segar," katanya.

Sementara itu, Shia Zikir yang membawakan watak utama, Puteri Bongsu, mengakui gementar dan teruja untuk berlakon dalam Muzikal Jula Juli Bintang 7 berkenaan.

Mengakui seronok dalam masa sama ingin menimba pengalaman sebanyak mungkin, Shiha sedia membuat persiapan rapi.

"Lagu lagu adalahciptaan baru sedangkan pada awal, saya ingatkan ia menampilkan lagu-lagu lama, ini salah satu yang memberi cabaran hebat buat sebagai penyanyi dan pelakon.

"Saya sedar beraksi dalam drama dan pentas teater, banyak bezanya. Jadi, ini masa untuk saya mencubanya sehabis baik.

"Kali pertama nak berlakon teater ini memang saya sangat gementar. Ini kerana sikap saya yang sangat teliti dan mementingkan kesempurnaan dalam bekerja.

"Saya mahu semuanya serba sempurna. Apatah lagi, saya akan cuba pastikan dapat melakukannya dengan terbaik," ujarnya.

Teater muzikal Juli Juli Bintang 7 ini akan menampilkan dua bintang utama iaitu Shiha Zikir sebagai Puteri Bongsu dan Zam Ryzam sebagai Putera Mahkota,

ia turut dibarisi penyanyi dan pelakon tanah air termasuk Ezad Lazim sebagai Putera Mambang, Joey Daud sebagai Raja Kayangan, Idris Brown sebagai Jin, Lazarul dan Rabi’atul atau lebih dikenali sebagai Rai, masing-masing sebagai Pak Mat dan Mak Eton serta Syukor Ibrahim Bachik sebagai pendita dan pencerita.

Penampilan lain ialah Fiza Thomas sebagai salah seorang puteri dan penglibatan warga Istana Budaya antaranya Dhiya Suhaili yang memegang watak Puteri Sulung, Boy B4AV sebagai Ahli Nujum dan dibantu Artis Tari Istana Budaya.

Mahmood Haji Ibrahim yang lebih mesra dengan panggilan Ce’Mud selaku pengarah tari akan menghasilkan pelbagai tarian melibatkan gabungan elemen tradisional dan kontemporari.

Kisah fantasi ini bermula dengan perebutan untuk memiliki tujuh Puteri Jula Juli di antara Putera Mambang dan Jin di kayangan sehinggakan Raja Kayangan membuat keputusan menghantar puteri-puteri ke bumi untuk mengelakkan huru-hara.

Puteri-puteri disumpah menjadi buah delima lalu dicampak ke bumi dan Raja Kayangan menawarkan Putera Mambang dan Jin bahawa sesiapa yang bertemu dahulu dengan puteri-puteri, merekalah yang berhak memiliki mereka.

Pementasan selama dua jam ini akan diiringi muzik oleh 48 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang memainkan 30 buah lagu baharu ciptaan dan gubahan Mohd Hafiz Askiak.

Teater Muzikal Jula Juli Bintang 7 adalah kisah rakyat Melayu klasik yang memaparkan aspek seni, nilai budaya dan warisan tempatan menerusi rekaan busana dan tata rias, rekaan set serta props dan juga kesan-kesan khas yang akan dipersembahkan.

Tiket berharga RM60, RM80, RM110 dan RM250 boleh didapati di laman sesawang Istana Budaya www.istanabudaya.gov.my bermula 1 Oktober 2022 dan di Kaunter Box Office Istana Budaya bermula 26 hingga 30 Oktober 2022.

Media Baharu