fb fb fb fb fb

Teater muzikal Gerincing Sari Embun dipentaskan 16 Ogos ini

Penyanyi dan pelakon, Asmidar bakal menerajui Teater muzikal Gerincing Sari Embun yang bakal dipentaskan pada 16 dan 17 Ogos ini

JOHOR BAHRU, 4 Ogos – Teater muzikal Gerincing Sari Embun, yang diinspirasikan daripada mitos Kampung Seri Bunian, akan dipentaskan di Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru pada 16 dan 17 Ogos ini.

Pementasan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu bertujuan mengangkat semula cerita rakyat tempatan selain menyampaikan mesej pemeliharaan alam sekitar kepada penonton.

Pengarah dan pengubah lagu, Amar Reza Zainalabidin berkata, pihaknya membuat lawatan ke Kampung Seri Bunian di Pontian bagi mengumpul maklumat dan memahami latar cerita tersebut.

"Kami jalankan lawatan tapak untuk dapatkan cerita masyarakat tempatan, kemudian diolah dalam bentuk pementasan agar lebih relevan dan mudah diterima,” katanya.

Teater itu menampilkan artis budaya YWJ dan diterajui penyanyi serta pelakon teater, Asmidar.

“Bukan hanya hiburan, teater ini juga penuh mesej.

Walaupun latarnya 1950-an atau 60-an, isu pencemaran dan kerosakan alam sebenarnya telah bermula sekian lama,” kata Asmidar.

Pementasan ini dijangka menjadi platform pendidikan budaya yang menarik bagi generasi muda serta peminat seni persembahan tanah air.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN