fb fb fb fb fb

Aishah hadiahkan "Taman Keabadian" buat peminat

Datuk Aishah/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Hampir empat dekad mewarnai dunia seni suara tanah air dan antarabangsa, penyanyi tersohor Datuk Aishah menghadiahkan peminat dengan buah tangan terbaharunya berjudul “Taman Keabadian”.

Karya penuh penghayatan dan sarat emosi itu merupakan ciptaan komposer berbakat besar, Senna.

Menurut Datuk Aishah, lagu "Taman Keabadian" menyentuh tema perpisahan dengan insan-insan yang tersayang, sama ada ibu bapa, keluarga, sahabat mahupun teman seperjuangan yang telah pergi meninggalkan dunia.

"Dalam bait-bait liriknya terselit rasa kerinduan yang amat mendalam, namun disulami harapan bahawa pertemuan semula akan berlaku di "Taman Keabadian".

“Hanya keyakinan kita akan bertemu semula di negeri abadi kelak dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati. Berdoalah dan yakinlah kerana kita juga pasti menyusul dan bertemu semula di sana, di sebuah tempat dinamakan "Taman Keabadian",” katanya.

Beliau turut menitipkan harapan agar lagu itu bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi kekuatan dan ketenangan kepada mereka yang sedang melalui kehilangan.

“Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pergi. Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa buat mereka yang memerlukan semangat. Ini adalah hadiah saya buat anda semua.

“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus menyanyi dan berkarya. Setiap lagu yang saya nyanyikan adalah sebahagian daripada hidup saya, dan saya harap ia juga menjadi sebahagian daripada hidup orang lain," katanya lagi.

Sementara itu, menurut Senna, proses menghasilkan lagu tersebut merupakan pengalaman yang sangat peribadi dan istimewa bagi dirinya.

Beliau memilih Datuk Aishah sebagai penyanyi lagu itu kerana yakin hanya suara dan jiwa penyanyi ikonik berkenaan yang mampu menyampaikan makna lagu tersebut dengan sempurna.

“Lagu ini begitu peribadi buat saya. Ia menuntut penyampaian yang bukan sekadar teknikal, tetapi penuh penghayatan dan spiritual. Saya yakin hanya Datuk Aishah sahaja yang dapat membawa roh lagu ini dengan begitu mendalam. Beliau menyanyi bukan hanya dengan suara, tetapi dengan seluruh jiwa,” ujar Senna.

Single "Taman Keabadian" boleh didengari di semua platform digital bermula Jumaat ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM