KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Kumpulan muzik eksperimental tempatan, MonoloQue, membuka lembaran baharu dalam arena muzik tempatan menerusi pelancaran lagu terbaharu mereka bertajuk "Villa Marhaen (Mereka Vs Kami)", yang turut menjadi pembuka kepada album penuh ketiga mereka yang akan datang, Tunjuk Langit.
Dikemudi oleh LoQue, arkitek utama kumpulan tersebut, lagu tersebut bukan sekadar karya muzik biasa. Terinspirasi daripada sajak Marhaenville karya Sasterawan Negara A. Samad Said, Villa Marhaen hadir sebagai sebuah alegori sosial yang halus namun menikam membingkai naratif tentang jurang kelas dalam masyarakat melalui pendekatan puitis dan sinikal.
“Villa Marhaen adalah alegori, satu pandangan kias tentang dua darjat. Kita tidak mahu menjurus kepada siapa atau apa, tetapi membiarkan pendengar menafsirnya sendiri siapa makan cili, dia yang rasa pedas,” kata LoQue.
Lagu tersebut menggabungkan unsur eksperimentasi bunyi yang menjadi identiti MonoloQue sejak awal, dengan rentak dram yang hampir ritualistik, petikan gitar surreal, serta susunan vokal yang memberi ruang kepada gema suara rakyat termasuk suara latar kanak-kanak dari Kumpulan Nasyid Farabi.
Judul lagu itu sendiri mencetuskan pertembungan simbolik: Marhaen mewakili rakyat kebanyakan, manakala Villa melambangkan golongan elit. Perbezaan itu turut dizahirkan melalui penggunaan unsur muzik berakar dari Timur Tengah, yang menjadikan lagu ini kaya dengan simbolisme budaya dan kelas.
“Lagu ni memang lain. Lebih straight to the point dan berjiwa rakyat. Rentaknya macam rentak joget, memang orang boleh menari,” jelas pemain dram Bakri ‘Halia’ Ismail, yang turut menyifatkan lagu ini sebagai antara pertaruhan terbesar dalam karier LoQue.
Menurut pemain bass Herda ‘Geroda’, lagu itu menampilkan sisi loQue yang lebih bebas dan terbuka berbanding album-album terdahulu.
“Saya nampak LoQue lebih ‘lepas’, macam orang yang dah lepas gian. Dia curahkan semua rasa dan idea tanpa batasan.”
Manakala dram senior Loko menyifatkan Villa Marhaen sebagai lagu yang sarat dengan kritikan sosial namun masih mengekalkan DNA MonoloQue.
“Lagu ini ada mesej yang kena hayati. LoQue memang faham isi hati rakyat.”
Lagu berkenaan juga menjadi penanda aras kepada arah tuju album Tunjuk Langit, yang dijangka menemui pendengar tahun ini. Album tersebut bakal menyajikan pelbagai variasi muzik termasuk dangdut Mengapa Dikenang, Mengapa Difikir, joget Halimunan Abad ke-21, balada Panjat Tangga, eksperimentasi elektronik Langgar Lari, dan juga lagu raya bernuansa rindu 'Rindu Dendam Hari Raya'.
“Nama timangan yang menjadi roh album ini,” ujar loQue tentang Tunjuk Langit.
Villa Marhaen tidak hanya menyerlah dari aspek sonik, tetapi juga dari sisi wacana sosial yang diketengahkan secara halus. Di sebalik susunan muzik yang dinamik dan menarik, terdapat sindiran sinis dan realiti getir tentang ketidaksamaan sosial menjadikan lagu ini satu bentuk musik kiasan rakyat.
“Baca kontrak sebelum sign,” pesan LoQue melalui lirik lagu satu kiasan yang mungkin lebih besar daripada yang disangka.
Pelancaran Villa Marhaen oleh MonoloQue bukan sekadar menghadirkan karya muzik, tetapi turut membuka ruang renungan, kritikan serta perbincangan. Lagu ini bukan hanya enak didengar, malah sarat makna untuk direnungi sebagai cerminan realiti rakyat yang dibingkai dalam irama dan simbolisme.