fb fb fb fb fb

'Syawal Rindu' kolaborasi sulung Black dan Adira

Black Hanifah dan Adira Suhaimi

KUALA LUMPUR, 16 Mac- Black Hanifah dan Adira Suhaimi berkolaborasi buat kali pertama menerusi sebuah lagu raya baharu berjudul 'Syawal Rindu'.

Lagu berkenaan mendapat sentuhan daripada Rudy Nastia, Aiman Zaidi, Aizad Khan dan Kelana manakala lirik ditulis oleh Aiman Zaidi.

Menurut Black, lagu tersebut mempunyai makna mendalam dan ia lebih dekat kepada pendengar khususnya buat individu yang tidak dapat pulang ke kampung halaman atau beraya bersama keluarga.

"Saya percaya ramai yang akan dapat menghayati mesej dalam lagu ini, lebih-lebih lagi mereka yang berjauhan dari insan tersayang pada musim perayaan.

"Kesenian dalam lirik dan melodi lagu ini mampu menyentuh titik sensitif dalam jiwa setiap pendengar, membawa mereka merasai betapa pentingnya kasih sayang dan kebersamaan, terutama di saat-saat di mana jarak dan waktu menghalangi keinginan untuk bersatu di tengah riuhnya keramaian menyambut lebaran.

"Semua ini disampaikan dengan jelas dalam bait-bait lagu dengan alunan penuh penghayatan, sekali gus menciptakan gambaran yang sangat nyata mengenai kerinduan yang mendalam yang mungkin dirasakan banyak orang di dunia ini," katanya.

Sementara itu Adira merasakan kolaborasi sulung bersama Black merupakan pengalaman baharu meskipun lebih sedekad dalam industri hiburan.

"Saya amat bersyukur dan teruja kerana dapat menyampaikan lagu ini bersama Black. Saya dapat merasakan sinergi kami semasa bekerja bersama sekali gus mencipta satu suasana yang kreatif dan penuh semangat.

"Kami saling memberi inspirasi dan sokongan untuk menghasilkan sebuah karya yang bermakna dan berkualiti. Pada masa sama, saya juga berasa bersyukur kerana dapat timba ilmu daripada Black, seorang penyanyi yang berpengalaman dan berbakat dalam industri muzik.

"Dengan adanya kolaborasi ini, saya yakin bahawa lagu yang dihasilkan ini akan menjadi sesuatu yang istimewa dan mampu menyentuh hati peminat muzik. Ditambah dengan liriknya yang cukup terkesan, saya berharap pendengar dapat lebih menjiwai sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi lagu ini," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI