fb fb fb fb fb

Biduanita Negara serikan Aidilfitri dengan Raya Nak Ke Mana?

Datuk Seri Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR, 12 Mac- Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri dengan kemunculan lagu terbaharu berjudul, Raya Nak Ke Mana?.

Lagu berentak zapin itu mendapat sentuhan segar komposer adik beradik, Aisha Retno dan RADi sekali gus mengembalikan nostalgia lagu raya yang pernah dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza.

Manakala liriknya pula ditulis gabungan dua penulis muda iaitu Aishah Retno dan Amylea Azizan.

"Lagu raya cukup cukup sinonim dalam kerjaya seni saya dan tahun ini saya rasa cukup bertuah kerana dapat menyanyikan sebuah lagi karya yang nempunyai keistimewaan dan berpotensi malar segar," jelas Siti Nurhaliza.

Biarpun mempunyai pengalaman tiga dekad dalam industri hiburan tanah air, namun Siti menganggap ia merupakan sesuatu yang baharu.

Beliau turut gembira dapat bekerjasama dengan anak muda dan yakin setiap pengkarya mempunyai kelebihan masing-masing.

Raya Nak Ke Mana? merupakan bukti bahawa pencipta muda juga mampu menghasilkan lagu raya yang enak didengar, mudah diikuti serta memberikan aura kemeriahan Aidilfitri.

Lagu terbitan SN legacy dan Universal Music itu mula dilancarkan di seluruh platform digital hari ini.

Ketika mengulas berkenaan lagu nyanyiannya iaitu Anta Permana dipilih dalam senarai lagu peribadi Raja Britain, Raja Charles III, nyata tidak pernah disangka penyanyi kelahiran Lipis itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ezra Kong dan Hael Husaini yang menghasilkan karya tersebut kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia sekali gus mencipta tempat dalam senarai pilihan peribadi Raja Britain.

"Lagu tradisional ini sebenarnya lenggok yang sedap didengar. Alhamdullilah ia satu penghormatan dan tak sangka dalam banyak-banyak lagu ada juga satu lagu dari Malaysia," ujar Siti Nurhaliza.

Lagu Anta Pemana menjadi sebahagian daripada program The King’s Music Room di Apple Music yang menghimpunkan karya daripada negara-negara Komanwel sebagai simbol meraikan kepelbagaian muzik seluruh dunia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI