fb fb fb fb fb

Sutradara Iran, Jafar perlu jalani semula hukuman enam tahun penjara yang tertangguh

(Fail AFP)

TEHRAN, 19 Julai- Sutradara atau pengarah filem Iran terkenal, juga pemenang anugerah berprestij Jafar Panahi yang ditahan minggu lalu di sini perlu menjalani hukuman enam tahun penjara yang disabitkan pada 2010. Demikian diumumkan pihak berkuasa kehakiman pada Selasa.

Jafar, 62 telah memenangi beberapa anugerah di festival antarabangsa untuk filem yang dikatakan mengkritik Iran moden termasuk filem “Taxi” pemenang hadiah utama di Berlin pada 2015 dan lakon layar terbaik di Cannes menerusi filem "Three Faces" pada 2018.

Ikon gelombang baharu filem Iran itu merupakan pengarah filem ke-3 yang ditahan bulan ini, selepas Mostafa Aleahmad dan Mohammad Rasoulof, pemenang Golden Bear di Berlin pada 2020 menerusi filem "There Is No Evil".

“Jafar telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun pada 2010… dan atas sebab itu dia dimasukkan ke penjara Evin untuk menjalani hukuman di sana,” kata jurucakap badan kehakiman Massoud Setayeshi kepada pemberita.


(Pengarah Filem Iran, Jafar Pahani. Gambar diambil pada 30 Ogos 2010/Fail AFP)

Jafar ditahan pada tahun 2010, selepas didakwa menyokong protes antikerajaan. Jafar juga didapati bersalah kerana “menentang sistem propaganda” dan dikenakan hukuman penjara enam tahun, dilarang mengarah atau menulis filem juga disekat daripada meninggalkan Iran.

Ada juga laporan menyebut, tindakan itu susulan penerbitan sebuah filem mengenai krisis pilihan raya Presiden Iran 2009.

Bagaimanapun, Jafar hanya menjalani hukuman penjara selama dua bulan pada 2010, dan kemudian dibebaskan secara bersyarat serta boleh dibatalkan pada bila-bila masa. Ada juga laporan menyebut Jafar dibebaskan dari penjara selepas mogok lapar.

Jafar ditahan semula pada 11 Julai lalu selepas dia pergi ke pejabat pendakwa raya untuk membuat semakan susulan mengenai situasi Mohammad Rasoulof. 

Penahanan itu dibuat selepas Jafar dan Mohammad pada Mei mengecam penahanan beberapa rakan sekerja mereka menerusi surat terbuka. -AFP

Media Baharu