fb fb fb fb fb

Soh Wooi Yik positif COVID-19, tarik diri Terbuka Jerman

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik diuji cabaran sebelum kejohanan Seluruh England di Birmingham, England dari 16 hingga 20 Mac ini selepas didapati positif COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu hantaran di media sosial dan pada ketika ini gandingan Aaron Chia itu sedang menjalani kuarantin kendiri.

"BAM mengesahkan pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik diuji positif COVID-19," kata BAM dalam kenyataan itu.

"Wooi Yik tidak mempunyai gejala dan berada dalam keadaan baik. "Dia kini menjalani tempoh kuarantin kendiri selaras dengan protokol kuarantin dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Pasukan jurulatih dan perubatan akan terus memantau proses pemulihan pemain berusia 24 tahun ini sebelum memutuskan mengenai penyertaannya di Seluruh England yang dijadual berlangsung pada 16-20 Mac ini di Birmingham.

"BAM mendoakan Wooi Yik segera sembuh," menurut hantaran facebook BAM.

(Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain beregu lelaki nombor satu negara, Soh Wooi Yik disahkan positif COVID-19/Foto FB BAM)

Berikutan keputusan positif COVID-19 itu, secara tidak langsung Aaron-Wooi Yik terpaksa menarik diri kejohanan Terbuka Jerman yang dijadual membuka tirainya esok di Muelheim an der Ruhr.

Aaron-Wooi Yik, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo merupakan pasangan Malaysia kedua yang terlepas perlawanan Terbuka Jerman selepas penarikan diri Goh V Shem-Low Juan Shen akibat kecederaan lutut.

Pemain lain yang akan menyahut cabaran di kejohanan tersebut adalah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Tan Wee Kiong-Tan Kian Meng, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Berdasarkan jadual asal, gandingan pilihan kedua di kejohanan Terbuka Jerman itu dijadual bertemu Goh V Shem-Low Juan Shen pada pusingan pertama.

Media Baharu