KUALA LUMPUR, 1 September - SocialCeleb melancarkan platform pencarian bakat digital pertama di Malaysia, yang boleh diakses di seluruh dunia bermula 9 September ini, bagi menghubungkan bakat baharu dengan nama besar industri hiburan.
Antara barisan Star Mentor ialah Datuk Afdlin Shauki, Nabil Ahmad, Nabila Huda dan Datuk Aaron Aziz, manakala Star Celeb terdiri daripada Bella Astillah, Harszan, Satthiya Kandi dan Hubert Lee.
Pengarah Rangkaian Lifetelco, Saraleana Nattaya Azmi berkata platform itu menawarkan gabungan capaian digital, bimbingan industri dan peluang lakonan sebenar.
“SocialCeleb menghimpunkan nama besar dan bakat baharu untuk mencipta pencarian bakat paling menarik di negara ini. Kami pilih cabang lakonan kerana ia cabaran paling sukar untuk menguji potensi peserta,” katanya.
Menerusi bengkel eksklusif, persembahan langsung dan perkongsian mentor, peserta berpeluang menghadiri uji bakat untuk filem, drama bersiri dan projek OTT.
Datuk Aaron Aziz turut menzahirkan keterujaannya menyertai platform itu.
“Inilah masanya untuk kami memberi kembali kepada industri. Bukan sekadar mengadili, kami juga membimbing dan membuka pintu untuk generasi seterusnya. Malah, dua projek filem telah disediakan untuk menampilkan bakat baharu,” katanya.
Bagi Datuk Afdlin Shauki, SocialCeleb diyakini dapat membina kerjaya mampan.
“Platform ini menghubungkan bakat baharu dengan bengkel berstruktur, bimbingan mentor dan projek sebenar, bukan sekadar populariti sementara,” jelasnya.
Sementara itu, Bella Astillah menyifatkan SocialCeleb memberi peluang lebih kukuh kepada peserta untuk menonjolkan potensi sebenar, manakala Satthiya Kandi pula melihatnya sebagai bukti bahawa impian boleh dicapai dengan usaha gigih.
Hubert Lee menambah, peranan beliau kini lebih besar apabila beralih daripada pencipta kandungan kepada ikon hiburan yang akan membimbing bakat baharu.
Pendaftaran bagi menyertai platform ini dibuka bermula 9 September 2025 menerusi laman sesawang rasmi www.social-celeb.com.