KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Selepas enam tahun menanti, lebih 5,000 peminat menghadiri konsert 'The Journey to the Far East: Maher Zain - The Live Experience' di ibu negara, pada Sabtu.
Penyanyi popular kelahiran Lubnan, Maher Zain berkata, Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hatinya serta berterima kasih atas sokongan peminat. Beliau turut memberi jaminan akan kembali lagi ke negara ini.
“Negara ini sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati saya. Terima kasih kerana menyokong saya selama ini. Insyaallah saya akan kembali,” katanya kepada para peminat.
Beliau turut memuji Malaysia yang konsisten memperjuangkan hak Palestin serta menunjukkan solidariti dalam isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Maher, 44, menegaskan semangat itu wajar dicontohi negara lain kerana membuktikan kepentingan kepimpinan berani dalam menyuarakan penentangan terhadap penindasan.
Konsert anjuran Yayasan Tengku Abdullah (YTA) dengan kerjasama penganjur rasmi Hitman Solutions dan Happymoon itu, dimulakan dengan lagu popular 'Assalamualayka' yang disusuli hampir dua jam rangkaian lagu terkenal beliau antaranya 'Inshaallah', 'Alayka Sallallah', 'Barakallahu Lakuma', 'Close To You' dan 'For The Rest of My Life'.
Kemuncak acara dirasai apabila ribuan penonton menyanyi bersama-sama sebelum Maher Zain menutup persembahan dengan lagu 'Ya Nabi Salam 'Alayka'.
Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas YTA, Tengku Shaheera Tengku Tan Sri Abdullah berkata, penganjuran konsert berkenaan bukan sekadar hiburan semata-mata.
“Konsert tersebut adalah cerminan iman, kemanusiaan dan kasih sayang. Apabila ribuan orang berhimpun untuk meraikan mesej cinta dan harapan, ia membuktikan muzik mampu menyatukan hati. Kami amat bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada detik istimewa ini,” katanya.