fb fb fb fb fb

AIM24 perkenal empat kategori baharu, kukuhkan platform pengiktirafan muzik negara

AIM24 perkenal empat kategori baharu, kukuhkan platform pengiktirafan muzik negara / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) mengukuhkan kedudukannya sebagai anugerah muzik paling komprehensif negara dengan memperkenalkan empat kategori baharu, sekali gus meneruskan tradisi memberi pengiktirafan kepada karyawan seni di depan dan belakang tabir.

Ketua Juri AIM24, Datuk Mokhzani Ismail berkata kategori baharu itu ialah Kugiran Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik serta Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.

“Lagu tradisional dipisahkan daripada kategori etnik supaya karya berasaskan zapin, inang dan joget diberi ruang pengiktirafan yang lebih tersusun. Sementara itu, kategori baharu lain diwujudkan bagi meluaskan lagi landskap industri muzik tempatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

3008 HBN MOKHZANI AIM24 2Ketua Juri AIM24, Datuk Mokhzani Ismail

Sebanyak 31 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini, menjadikan AIM24 platform pengiktirafan paling menyeluruh dalam sejarah penganjuran.

“AIM bukan sekadar meraikan penyanyi atau komposer. Ia merangkumi keseluruhan ekosistem muzik negara, termasuk karya dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil. Keunikan AIM terletak pada keterangkuman yang merentasi semua genre dan bahasa tempatan,” jelasnya.

Menurut beliau, proses penjurian melibatkan lebih 600 pencalonan yang dinilai dalam 31 kategori oleh 132 juri profesional.

“Setiap kategori diadili 11 hingga 12 juri pakar. Walaupun ada juri yang turut menghantar pencalonan, mereka dikecualikan daripada menilai karya sendiri. Justeru, integriti penjurian tetap terpelihara,” tegasnya.

Katanya, AIM24 menilai karya berdasarkan mutu penerbitan sejajar dengan trend muzik semasa, sama ada berunsur orkestra, hip hop mahupun digital.

“Muzik diiktiraf tanpa mengira genre atau pendekatan, asalkan memenuhi standard industri,” katanya.

Beliau turut mengakui kekangan masa menjadi cabaran utama, namun barisan juri berpengalaman memastikan setiap kategori dinilai secara adil dan teliti.

“Saya berharap keputusan AIM24 tepat, berkualiti, dan memberi inspirasi kepada penggiat industri untuk terus berkarya,” ujarnya.

AIM24 bakal berlangsung pada 13 September ini di Arena of Stars, Genting Highlands, dan disiarkan secara langsung oleh RTM selaku penyiar rasmi.

Anugerah berprestij itu dijangka bukan sahaja meraikan kecemerlangan muzik tanah air, malah memperkukuh kesinambungan industri ke arah lebih inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN