fb fb fb fb fb

Insomniacks buktikan aura, tiket konsert habis terjual

Insomniacks terdiri daripada tiga anggota iaitu Iqie (penyanyi utama dan guitar), Iskandar (bass) dan Danial (guitar).

KUALA LUMPUR, 1 September - Kumpulan pop rock tempatan, Insomniacks sekali lagi membuktikan pengaruh besar mereka apabila tiket konsert jelajah Echoes of a Dream di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Julai lalu habis terjual dalam masa singkat. Fenomena sama turut berlaku di Capitol Theatre, Singapura pada 16 Ogos, apabila semua tiket laris sehingga ke barisan terakhir.

Lebih mengujakan, barangan cenderahati rasmi di kedua-dua konsert turut habis dijual, menandakan sokongan padu peminat setia. Bagi memenuhi permintaan tinggi, barangan rasmi kini ditawarkan secara dalam talian menerusi umusic.my, termasuk koleksi eksklusif Insomniacks.

Menjulang rekod streaming tertinggi 2024 di Carta RIM bukan alasan untuk berehat. Sebaliknya, pencapaian itu dijadikan pembakar semangat untuk terus memperkasa karya serta persembahan, sekali gus mengekalkan relevansi sebagai kumpulan muzik pilihan generasi kini.

Momentum kejayaan diteruskan dengan pelancaran single terbaharu berjudul Seperti Dulu, yang dipersembahkan buat pertama kali di Singapura dan bakal dilancarkan secara rasmi pada 29 Ogos 2025. Lagu itu digambarkan sebagai ‘surat cinta’ istimewa buat para peminat yang setia sejak awal perjalanan muzik mereka.

“Lagu ini sebenarnya surat cinta kami buat semua yang menyokong Insomniacks sejak mula. Tak kira di mana mereka berada dalam hidup, kami nak ingatkan bahawa setiap momen bersama itu tetap akan kami hargai,” kata anggota Insomniacks.

Dari segi kreatif, lirik Seperti Dulu ditulis bersama oleh anggota kumpulan dengan komposisi muzik oleh Iqie. Proses susunan turut melibatkan kerjasama rapat dengan Taja, menjadikan karya ini hasil kerja berpasukan yang penuh kejujuran.

Lagu tersebut juga menyelitkan elemen nostalgia yang merujuk kepada era awal muzik Insomniacks, sekali gus menghubungkan perjalanan mereka dari dahulu hingga kini.

Selepas pelancaran rasmi pada 29 Ogos, Insomniacks akan meneruskan siri promosi ke Jakarta pada penghujung September, membawa semangat muzik mereka merentas sempadan.

TUN JULIA MOHD TAHIR