KUALA LUMPUR, 2 September – Konsert Al-Kisah Kugiran Masdo 10 Tahun berlangsung penuh meriah dengan nostalgia dan alunan muzik retro moden pada malam merdeka, 31 Ogos lalu di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert berkenaan menghimpunkan ribuan peminat, mengimbau perjalanan satu dekad karier seni, selain meraikan sambutan kemerdekaan ke-68 negara.
Paparan perjalanan sejak 2015 disajikan sebelum lagu 'Teruna & Dara' membuka tirai persembahan.
Peminat kemudian dihiburkan dengan lagu popular antaranya “Janji Manis”, “Dinda” dan “Ratu Hati”.
Tidak terhenti di situ, konsert bertambah hangat dengan penampilan artis jemputan.
Heidi Moru tampil memberi nafas baharu kepada “Pujaanku”, manakala Noh Salleh mencuri perhatian dengan “Inilah Jalannya” sebelum mendendangkan lagu terkemuka Hujan iaitu “Janji Manis” dan “Aku Scandal”.
Peminat turut terpukau dengan persembahan "Ratu Hati" hasil gabungan gesekan biola Nisa Addina dan pemain keyboard Cakam, sementara Fizan dari Bittersweet menyampaikan “Nearly Near You”.
Penutup konsert menyaksikan ribuan peminat melaungkan semangat kemerdekaan.
Pengurus MASDO, Cheman menyatakan konsert tersebut bukan sekadar sambutan ke-10 buat mereka, sebaliknya untuk seluruh keluarga MASDO.
"Ini terutamanya peminat yang setia bersama kami sepanjang perjalanan ini.
Kami bermula dengan sebuah impian kecil dan malam ini ribuan suara menyanyi bersama, hadiah yang terindah pernah MASDO terima," katanya.