fb fb fb fb fb

33 artis tempatan, antarabangsa gegarkan festival muzik

Gabungan festival muzik, fesyen dan makanan terbesar.

KUALA LUMPUR, 2 September – Hausboom Festival kembali bagi edisi 2025, kali ini diperhebatkan dengan kolaborasi bersama syarikat penerbangan AirAsia.

Bakal berlangsung pada 11 dan 12 Oktober di MAEPS Serdang, acara muzik dan gaya hidup tahunan terbesar itu tampil dengan konsep baharu 'Paint the Town Red'.

Festival ini akan menampilkan 33 artis tempatan dan antarabangsa antaranya legenda muzik tanah air Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Ella, Def Gab-C, Noh Salleh & Restoe Iboe, Bunkface, K-Clique dan 6ixth Sense.

Persembahan turut dihangatkan penghibur dari Indonesia, termasuk Samsons, Bernadya, Kunto Aji, Feby Putri, Nadhif Basalamah dan Ghea Indrawari.

Kolaborasi epik bersama AirAsia menjadikan festival ini bukan sekadar acara muzik, tetapi sebuah pengalaman menyeluruh yang menggabungkan hiburan, fesyen, makanan serta pelbagai kejutan eksklusif.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Amanda Woo berkata muzik sentiasa menjadi sebahagian daripada syarikat yang bekerjasama erat dengan penggiat industri.

"Pada 2025 sahaja, kami telah bekerjasama dengan lebih 10 festival muzik di rantau ini termasuk China, Filipina dan Australia.

"Kami amat teruja membawa momentum itu ke AirAsia Hausboom Festival 2025, sekali gus menarik peminat dari seluruh ASEAN," jelasnya.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN