KUALA LUMPUR, 9 September - Luncai Emas melancarkan single baharu 'Rasa Sakit Rasa Rindu' bersama video muzik rasmi pada 8 Ogos lalu menerusi YouTube dan semua platform digital. Ia sebagai usaha memperluas pasaran muzik ke Indonesia selepas kejayaan lagu Isabella dan Tiara.
Kolaborasi ini mempertemukan komposer eksklusif Luncai Emas, iaitu Sang Hitam, dengan penyanyi terkenal Indonesia, Andrigo. Penyanyi asal Riau yang pernah bernaung di bawah label besar Nagaswara itu, berpengalaman lebih 16 tahun di persada muzik Indonesia serta dikenali dengan karya seperti Pacar Selingan, Demi Cinta dan Terbunuh Rindu.
“Saya berharap lagu ini menjadi nafas baru dalam kerjaya saya pada tahun 2025, dan diterima baik oleh pecinta muzik di Indonesia dan Malaysia. Lagu ini sangat istimewa kerana muziknya dikemas dengan sentuhan slow rock Malaysia,” kata Andrigo.
Sang Hitam, komposer yang terkenal dengan keberanian mengangkat sisi gelap kehidupan ke dalam karyanya, menyifatkan lagu ini sarat dengan emosi dan mampu menyentuh hati pendengar.
“Saya percaya lagu ini akan menyentuh ramai pendengar tentang sakitnya kehilangan, indahnya rindu, dan ketakutan untuk membuka hati semula. Terima kasih kepada Andrigo kerana menyampaikan lagu ini dengan penuh jiwa serta kepada Luncai Emas atas peluang ini,” katanya.
Pelancaran ini dilihat sebagai strategi Luncai Emas Sdn. Bhd. untuk mengetengahkan karya tempatan di pentas antarabangsa melalui kolaborasi bersama artis Indonesia.