KUALA LUMPUR, 3 September - Pasangan serasi Sherry Al-Hadad dan Alif Satar sekali lagi diberi kepercayaan sebagai hos utama Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September ini.
Malam kemuncak itu turut diserikan persembahan bintang popular seperti Ernie Zakri, Shila Amzah, Masdo, Dolla bersama Tobii (Thailand) serta finalis Artis Baru Terbaik iaitu Erika Foo, Intan Maya, K.O.I, Ryenald Guntabid dan Xone.
Antara penyampai trofi ialah Dayah & Ts Dr Fitri Haris, Khai Bahar & Roy, Adira Suhaimi & Joe Barbarik, Datuk Awie & Datuk Nora Ariffin, Siti Nordiana & Tomok, selain ramai lagi.
Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, pemilihan hos, penghibur dan penyampai dibuat berdasarkan kemampuan serta relevansi mereka dengan tema tahun ini, “Kemuncak Segala-Galanya”.
AIM24 juga memperlihatkan kolaborasi antarabangsa, termasuk persembahan Ernie Zakri bersama Ade Govinda & Anggi Marito yang tercalon dalam kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.
Kehadiran Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, serta penampilan kumpulan legenda Exists dijangka menjadi kemuncak istimewa acara muzik paling berprestij tanah air ini.